Wednesday, March 23, 2016

SINOPSIS NOVEL TIRANI: BAB 6 HINGGA BAB 10

Untuk murid 5A1 & 5A2 Mutiara:

Bab 6: Metamorfosis

          Pembedahan terhadap Waheeda yang telah dirancang berjalan dengan lancar. Operasi ini diketuai oleh Dr Sirrim Ghazizadeh dan dibantu oleh Dr Alma Chen dan Dr Averroes (Dr.Rushdi).  Di dalam bilik pembedahan, keadaan Waheeda sangat tenang dan rela menjalani pembedahan itu demi kecantikan wajahnya. Pembedahan tersebut mengambil masa selama 12 jam.

            Waheeda berasa sangat gembira kerana rupa-rupanya dia ditemani oleh ibunya yang menunggu di luar  bilik pembedahan. Waheeda melangkah keluar dari SMC bersama-sama ibunya selepas membayar bil pembedahan yang jumlahnya berpuluh ribu ringgit. Waheeda berasa lega kerana hasratnya untuk merubah wajahnya seperti yang diidamkan sudah terlaksana. Semasa Waheeda berehat di rumah, dia telah membaca satu tawaran  pakej pelancongan yang ditawarkan oleh Timberland Medical dan SMC ke Hotel Flamingo De La Rossa, Pulau Sentosa, Singapura. Tawaran ini dikhaskan kepada pelanggan SMC yang membayar 30 ribu ke atas. Waheeda menerima tawaran tersebut.


Bab 7: Ke Pulau Sentosa:

          Percutian ke Pulau Sentosa ditemani oleh sahabatnya Bazilah dan Dr Zahari. Waheeda bersama rakannya menghabiskan masa di pulau tersebut. Kebanyakan masa dihabiskan dengan membaca buku yang tersedia di hotel tersebut. Mereka juga menghargai  anugerah alam di situ. Jenis tumbuh-tumbuhan yang ada di situ seperti pohon putat laut dan pohon ketapang yang mengingatkan  Waheeda kepada kampung halamannya. Suasana di situ juga menjadi sumber inspirasi kepada Wheeda untuk memajukan lagi homestay kepunyaan bapanya.

          Semasa Waheeda, Bazilah dan Dr Zahari berbincang, tiba-tiba munculnya  Dr Averroes. Dr Averroes juga dikenali sebagai Dr Rushdi. Percutian ini semakin rancak dengan kehadiran Dr Rushdi. Mereka bersantai bersama-sama berkongsi pengalaman dan pandangan.

Bab 8:  (Hadiah Alam)

          Waheeda dan Dr Rushdi terus bercerita. Dr Rushdi menyatakan bahawa  kecantikan ialah tirani yang hadir hanya sementara sahaja. Istilah  tirani menurut Dr Rashdi berasal dari Greek. Persoalan ini menjadi topik perbualan yang panjang antara mereka berdua.

          Pada malamnya, sebelum tidur, Waheeda tersenyum teringatkan cerita-cerita yang disampaikan oleh Dr Rushdi tentang dirinya dan kehebatan orang-orang Sepanyol. Cerita Dr Rushdi juga mengingatkan  Waheeda kepada kehebatan bangsanya dan kampung halamannya. Sejurus selepas itu, Fatimah telah menelefonnya  tentang ke hadiran Persatuan Agen Pelancongan dan Perjalanan Malaysia (MATTA) ke tempat mereka. Fatimah juga menerangkan pesta Bung Beratak yang dihadirinya bersama-sama rombongan tersebut.

          Selepas itu, melalui e-mel Fatimah juga   tentang projek perhotelan yang dijalankan oleh syarikat Datuk Yaseer yang telah berjalan lancar. Waheeda teringat semula akan chalet ayahnya yang mungkin jauh ketinggalan berbanding dengan hotel Datuk Yasser. Waheeda memasang tekad untuk kembali ke Chalet Tajau Emas.

          Dengan tidak disangka, Waheeda menerima berita gembira untuk menghadiri satu temu duga pegawai Perhubungan di Flamingo Resort. Sebenarnya Waheeda telah membuat persiapan diri  dengan menghadiri bengkel Keusahawanan dan Keterampilan diri sebelum ini. Sebelum tidur pada malam itu, Waheeda berfikir mungkin dia akan berpisah dengan sahabatnya, Bazilah kerana Flamingo Resort terletak jauh di sebelah selatan Singapura.

Bab 9: Wajah Pesona:

          Kehadiran Waheeda sebagai Pegawai Perhubungan Awam yang baru di Flamingo Resort telah mendapat perhatian oleh pekerja di situ. Kecantikan dan keramahan Waheeda amat menyenangkan hati beberapa orang staf di situ seperti Lais, Anati dan Kong.  Dalam pada itu, Waheeda bersyukur diterima bekerja di situ. Namun, dia masih teringat kerjanya di Tajau Emas. Waheeda makan bersama Kong di Restoran La Rosa. Selepas Kong meninggalkan Waheeda di kafe, Waheeda sempat melihat seorang  lelaki yang bernama Zahid setelah dibisikkan oleh Alex kepadanya.

          Di rumah Bazilah, semasa kedua-dua mereka berbual, Dr Zahari muncul. Waheeda sedar sejak belakangan ini, Dr Zahari selalu datang ke rumah mereka. Tindakan Dr Zahari yang mesra dan seakan-akan tidak mempedulikan Bazilah menyebabkan Waheeda kurang selesa. Waheeda berasa Dr Zahari melemparkan pandangan mata yang cukup berlainan yang mungkin menyebabkan Bazilah cemburu. Peristiwa ini menyebabkan Waheeda menganggap  tirani itu memang benar. Dengan alasan ini, Waheeda mengambil keputusan untuk berpindah ke Flamingo Resort.
Pada minggu pertama di tempat kerja, Waheeda telah menerima tugas yang agak berat yang diberikan oleh Encik Halloway. Waheeda cuba mengaitkan budaya masyarakat Singapura dengan masyarakat Sarawak. Waheeda teringat akan orang Ulu, Long Dance atau Hiven Joh, kebudayaan suku kaum Kelabit, Kayan, Kenyah, Long Bawang dan Penan.

          Dalam pada merangka program yang terbaik untuk resort tersebut, Halloway datang dan mengajak berjumpa dengan Zahid. Dalam pertemuan ini, Halloway telah menawarkan Waheeda sebagai wakil Flamingo Resort dalam pertandingan ratu antarabangsa yang akan diadakan pada pertengahan   hadapan. Waheeda terkejut mendengar tawaran tersebut. Keadaan itu diredakan apabila Halloway memuji kecantikan Waheeda.
Setelah Halloway beredar, Waheeda berkenalan dengan Zahid. Melalui perbualan tersebut, Waheeda  dan Zahid begitu teruja dan hati mereka terus berbunga. 

Bab 10: Senyum 10 Ela:

          Datuk Yasser berkunjung ke Singapura dan menginap di Flamingo Resort dengan tujuan untuk menemuinya anaknya Zahid yang baru pulang dari Amerika. Datuk Yasser banyak membincangkan isu yang terkandung dalam akhbar hari itu,termasuklah tentang  Islam, rasuah, cetak rompak dan sebagainya. Tujuan asalnya untuk bertanya kepada Zahid tentang kepulangan Zahid dari Amerika. Zahid menjelaskan kepada ayahnya bahawa dia tidak suka  tinggal di sana kerana beberapa isu negatif terhadap Malaysia dan Islam. Datuk Yasser berasa bersyukur atas keputusan Zahid. Pada malam itu, perbualan anak beranak itu berkisar kepada pengembangan perniagaan di Kuching, Seri Gading dan mungkin ke Flamingo. Dalam kerancakan perbincangan, rupa-rupanya senyuman manis Waheeda terlekat dalam lamunan Zahid.

          Selepas menikmati makanan tengah hari bersama Halloway, Waheeda didatangi oleh Zahid. Seterusnya Zahid memperkenalkan Waheeda kepada ayahnya Datuk Yasser. Perbualan Waheeda dengan Datuk Yasser  semakin rancak kerana Waheeda berasal dari Kuching dan ada kaitan dengan Tajau Emas. Lantas ada kaitan dengan Seri Gading. Datuk Yasser sangat gembira dan mencadangkan mereka makan bersama-sama pada malam itu.
Waheeda tidak sabar untuk menceritakan kepada Bazilah tentang pertemuannya dengan Zahid yang mungkin akan membibitkan sesuatu yang bermakna.

          Seterusnya, persiapan sedang dibuat oleh Kong dan Anati yang sibuk memberi idea  tentang pakaian yang sesuai dipakai oleh Waheeda ke Pertandingan Ratu Cantik Miss Tourism Internasional nanti. Waheeda mencadangkan bahawa dia tidak mahu memakai fesyen yang berbelah sampai ke paha. Sebaliknya dia akan mengenakan pakaian Gajoh Oleng yang merupakan pakaian tradisi Sarawak.


No comments:

Post a Comment