Assalam & Salam Sejahtera Mutiara
Gurindam: Beberapa Petua Hidup
Gurindam: Beberapa Petua Hidup
Baca gurindam di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang diberi berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Fikir dan Kata
Kurang fikir, kurang siasat,
Tentu dirimu kelak tersesat.
|
Fikir dulu sebelum berkata,
Supaya terelak silang sengketa.
|
Perkata tajam jangan dilepas,
Ibarat beringin, racun dan upas.
|
Kalau mulut tajam dan kasar,
Boleh ditimpa bahaya yang besar.
|
Silang Sengketa
Siapa menggemari silang sengketa,
Kelaknya pasti berdukacita.
|
Silang selisih jangan dicari,
Jika tersua janganlah lari.
|
Ilmu
Jikalau ilmu tiada sempurna,
Tiada berapa ia berguna.
|
Ilmu kepandaian boleh dikejar,
Asal mahu rajin belajar.
|
Dunia Pergaulan
Dunia ini taman pergaulan,
Hendaklah pilih sahabat dan taulan.
|
Manusia dikenal sifat budinya,
Dengan dilihat siapa kawannya.
|
Burung yang sama corak dan bulu,
Selalu sekumpul ke hilir ke hulu.
|
Sifat-sifat yang Baik
Jikalau kamu bersifat budiman,
Dipandang bagai bunga di taman.
|
Jikalau kamu bersifat dermawan,
Segala orang dapat kautawan.
|
Jikalau kamu bersifat pemurah,
Segala manusia datang menyerah.
|
Perbuatan yang Baik
Barang siapa berbuat jasa,
Mulia namanya segenap masa.
|
Menolong sesama wajib dan perlu,
Tapi tolonglah dirimu dahulu
|
Sifat-sifat Jahat
Telunjuk lurus kelengkeng berkait,
Hati sesama menjadi pahit.
|
Barang siapa berbuat khianat,
Tuhan kelak memberi khianat.
|
1. Apakah maksud perenggan kedua dalam gurindam di atas? [2 markah]
2. Pada pendapat anda, mengapakah kita perlu berfikir dahulu sebelum mengeluarkan kata-kata kepada orang lain? [3 markah]
3. Huraikan dua nilai yang terkandung dalam gurindam di atas. [4 markah]
4. Berdasarkan gurindam di atas, jelaskan empat sifat yang perlu diamalkan oleh seseorang bagi mewujudkan masyarakat yang harmoni. [4 markah]
5. Bincangkan dua pengajaran yang dapat diambil daripada gurindam tersebut. [4 markah]
6. Pada pendapat anda, apakah ciri-ciri yang perlu diutamakan oleh seseorang untuk mencari seseorang sahabat? [4 markah]
7. Berdasarkan gurindam di atas, apakah perkara-perkara yang menyebabkan keadaan masyarakat menjadi tidak harmoni? [3 markah]
8. Beri maksud rangkap kedua belas gurindam di atas. [2 markah]
Nothing Gonna Change My Love For You
No comments:
Post a Comment