LANGKAH MENGHARGAI WARGA EMAS/ WARGA TUA
CARA-CARA MENGHARGAI WARGA TUA
Warga tua merujuk kepada mereka
yang berusia lebih daripada 60 tahun. Mereka merupapan ibu, bapa, datuk atau
nenek, bapa saudara atau ibu saudara kita. Mereka merupakan golongan yang
paling berjasa kepada keluarga, masyarakat dan negara. Warga tua telah melalui
pelbagai rintangan dan dugaan untuk membesarkan anak-anak. Namun, pada hari
ini, warga tua sering diabaikan ibarat peribahasa melukut di tepi gantang dan
jasa mereka dilupakan oleh masyarakat. Ada sesetengah mereka pula dianggap
seperti Quran buruk. Bagaimanapun, jasa dan sumbangan warga tua perlu dihargai
oleh semua pihak.
Ahli keluarga perlu menyayangi warga
tua. Warga tua yang terdiri daripada ibu melahirkan zuriat dan berperanan
mengurus rumah tangga serta mendidik anak-anak. Kaum bapa pula membanting
tulang empat kerat mencari rezeki untuk keluarga. Pengorbanan ibu bapa perlu
diingati serta dibalas dengan sebaik-baiknya. Sebagai anak, kita perlu menjaga
ibu bapa kita ketika mereka tua serta uzur. Anak-anak tidak seharusnya menghantar
mereka ke rumah orang tua-tua. Jika mereka berbuat demikian, mereka boleh
dianggap sebagai kacang lupakan kulit.
Di samping itu, guru menjadi suri
teladan menasihati pelajar agar menghormati ibu bapa serta warga tua. Kita
perlu memberikan perhatian dan sering mendampingi mereka. Selain itu, anak-anak
perlu bertutur dengan sopan apabila berkomunikasi dengan ibu bapa mereka.
Ketika bersalam, anak-anak hendaklah mencium tangan mereka. Hal ini demikian
kerana kasih ibu membawa ke syurga dan kasih bapa sanggupkah berpisah
berkorban nyawa. Sewajarnya anak-anak tidak mengabaikan warga tua
tersebut.
Seterusnya, kerajaan dan pihak swasta
turut berperanan menghargai warga tua. Kerajaan dan pihak swasta hendaklah
berganding bahu seperti aur dengan tebing. Kedua-dua pihak tersebut hendaklah
menyediakan pelbagai kemudahan untuk warga tua. Sebagai contoh, rumah
penjagaan warga tua yang mempunyai pelbagai kemudahan penjagaan hendaklah
disediakan untuk mereka. Di samping itu, warga tua juga hendaklah diberikan
rawatan percuma di hospital kerajaan. Sekiranya memerlukan bayaran, mereka
hendaklah dikenakan kadar bayaran rendah di hospital kerajaan atau klinik
swasta. Keperihatinan tersebut menunjukkan sikap mengambil berat tanpa mengira
pangkat, demi keselesaan warga tua.
Media massa tidak terkecuali dalam
usaha menghargai warga tua. Media massa seperti surat khabar dan televisyen
serta Internat boleh menyiarkan cerita-cerita yang berkaitan dengan
pengorbanan dan penderitaan hidup warga tua. Sebagai contoh, rancangan
yang disiarkan oleh TV3, iaitu ’Bersamamu”, menunjukkan terdapat pelbagai pihak
yang sanggup menghulurkan bantuan khususnya kepada warga tua yang daif. Hal ini
menyedarkan kita tentang pentingnya warga tua dalam hidup kita. Oleh itu, kita
tidak boleh mengabaikan warga tua.
Kesimpulannya, pelbagai pihak perlu berusaha untuk menghargai jasa
dan pengorbanan warga tua. Tanpa mereka siapalah kita. Jangan sesekali
kita bersikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing kerana
suatu hari nanti, kita juga pasti akan menjadi ’tua’ juga. Kita tidak boleh
mengabaikan warga tua kerana merekalah yang telah berkorban melahirkan,
membesarkan, dan mendidik anak-anak hingga berjaya dalam hidup.
No comments:
Post a Comment