Thursday, June 23, 2016

KARANGAN: PERANAN REMAJA DALAM MEMBANGUNKAN NEGARA

PERANAN REMAJA DALAM MEMBANGUNKAN NEGARA

Lebih separuh abad kita menghela nafas kemerdekaan, namun remaja yang merupakan bakal tunjangnegara masih terbelenggu oleh pelbagai kemelut sosial. Ternyata mentaliti remaja di negara kita belum lagi mengalami anjakan paradigma selaras dengan arus pembangunan negara kita. Menurut kata mutiara sarjana, “Jika ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, lihatlah remajanya pada hari ini.” Presiden Soekarno pernah mengungkap, Berikan saya 10 orang belia waja, nescaya akan saya gegarkan dunia.”Ternyatalah di sini bahawa remaja yang berkualiti dapat memperkasakan kegemilangan nusa dan bangsa. Oleh itu, setiap remaja perlu memainkan peranan mereka dengan penuh tanggungjawab untuk merencanakan pembangunan negara.
     Peranan signifikan remaja ialah mereka perlu belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dari aspek akademik. Kecemerlangan akademik merupakan salah satu elemen yang maslahatuntuk melahirkan remaja yang berkualiti demi kepentingan negara. Intelek merupakan faktor perdana untuk menjana kecemerlangan tamadun bangsa. Sehubungan dengan itu, remaja kita perlu proaktif menimba ilmu bukan sahaja di dalam kelas tetapi juga menuntut segala pengetahuan, terutamanya ilmu Sains dan Matematik melalui pelbagai wahana, seperti membaca buku, melayari lebuh raya maklumat di dunia maya dan sebagainya. Ketekunan dan inisiatif merupakan prasyarat untuk mencapai kecemerlangan akademik dan akan menjauhi gelaran katak di bawah tempurung. Remaja juga tidak harus terbuai dalam dunia yangmengalpakan, iaitu terlalu khusyuk dalam dunia hiburan atau mengamalkan hedonisme. Ingatlah peribahasa,ikut hati mati, ikut rasa binasa. Tegasnya, tanpa remaja yang bijak pandai maka pembangunan negara akan terbantut. 
     Walau bagaimanapun, kecemerlangan akademik semata-mata tidak dapat menjamin pembangunan negara jika remaja kita tidak memiliki kesihatan fizikal dan mental. Remaja yang ingin membangunkan negaea perlu memiliki kekuatan fizikal dan mental untuk menempuhi segala kekangan. Pada alaf baharu yang penuh dengan kompetitif, remaja kita perlu memiliki kecergasan fizikal dan bersemangat waja diri tanpa mengenal istilah putus asa supaya dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan remaja di negara maju. Untuk mencapai kesihatan fizikal dan mental, remaja kita patut mengamalkan pemakanan seimbang, menjaga kebersihan diri dan persekitaran, bersenam, bersukan, beriadah dan tidak terlibat dalam pelbagai angkara sosial seperti minum arak, merokok, kegiatan maksiat, najis dadah dan lain-lain lagi kerana terlajak perahu boleh diundur, terlajak laku buruk padahnya. Remaja kita harus sedar bahawa kesihatan merupakan aset yang tidak ternilai. Tanpa kesihatan, segala-galanya tidak lagi membawa makna. Hal ini sangat bertepatan dengan sloganrakyat sihat, negara maju. Jadi, remaja yang sihat dan mempunyai jati diri yang mapan baru dapat melaksanakan pembangunan negara.
     Selain itu, remaja juga mestilah memiliki etika atau personaliti yang luhur. Remaja kita harus disuntikkan ajaran agama dan nilai moral sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Lantaran itu, ibu bapa dan pihak sekolah memainkan peranan yang penting untuk mendidik remaja menjadi modal insan kelas pertama yang berakhlak mulia dan berjati diri unggul. Selain menitikberatkan ajaran agama dan pendidikan moral, remaja kita harus dibimbing supaya melakukan kerja amal dan memberikan khidmat sosial, misalnya bergotong-royong, menziarahi rumah kebajikan orang-orang tua dan kanak-kanak yatim, mengutip derma untuk membantu mangsa bencana alam serta terlibat dalam pelbagai aktiviti sukarela. Remaja yangdangkal imannya sudah pasti akan terjerumus ke dalam kebejatan sosial. Dengan kata lain, remaja berkepemimpinan harus bersahsiah mulia, berinsaniah, berbudi bahasa dan berkasih sayang agar dapat melahirkan negara yang maju sama ada secara luarannya dan dalamannya pada suatu hari nanti.
     Seperkara lagi, remaja juga perlu kreatif dan inovatif untuk memacu pembangunan negara yang gemilang. Hal ini terjadi demikian kerana hanya mereka yang sentiasa berani berkreatif dan mempelopori bidang yang baharu dapat mengecapi kejayaan yang terbilang. Dalam industri teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), umat yang gigih dan berani mencuba sesuatu yang baharu akan menikmati buah kejayaan yang manis. Rentetan daripada itu, remaja kita harus dilatih supaya berani berimaginasi dan berkhayal tetapi disusuli dengan aplikasi yang teratur. Ibu bapa harus memberikan sokongan yang padu dan galakan yang tidak terhingga jika anak mereka melontarkan impian mereka. Namun demikian, impian itu bukan rekaan Mat Jenin yang tidak berasas tetapi perlu disokong dengan praktikalnya. Dalam konteks ini, penglibatan remaja dalam pelbagai bidang sama ada kebudayaan, sukan, kepimpinan atau keusahawanan berupaya menjanakan kreativiti dan inovasi remaja. Pendek kata, pembangunan negara akan tercapai jika negara kita mempunyai barisan pelapis negara yang kreatif dan inovatif.
     Akhir sekali, remaja juga dapat memainkan peranan mereka untuk membangunkan negara dengan memiliki sikap keterbukaan. Hal ini kerana apabila golongan ini mempunyai sifat sedemikian, mereka lazimnya dapat menerima teguran dan pandangan orang lain. Dalam nada yang serupa, remaja seumpama ini dapat memberi kesan kepada negara kita. Mereka dapat menjamin kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara. Mereka akan menjadi pendukung untuk mencapai perpaduan negara atau integrasi nasional demi mewujudkan kesejahteraan sosial. Mereka sentiasa mengamalkan sikap toleransi dan bertolak ansur untuk mencapai misi dan visi negara iaitu semua rakyat perlu bersatu padu di bawah satu bumbung yakni, satu bangsa satu bahasa dan satu negara. Maka, sifat keterbukaan remaja sudah pasti dapat memudahkan mereka menjadi pemimpin yang mampu membangunkan negaranya dengan penuh komited dengan dipayungi perpaduan antara rakyatnya.
   Intihanya, semua remaja mempunyai tanggungjawab dan obligasi masing-masing untuk menjana pembangunan negara kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Remaja sebagai tunjang yang bakal menerajui kepimpinan negara kita haruslah merdeka daripada belenggu angkara sosial. Hanya remaja yang berkualiti akan memangkinkan kecemerlangan negara. Jika remaja kita tidak diasuh, dibimbing dan dididik dengan kamil, tidak mustahil segala aspirasi negara hanya sekadar imaginasi semata-mata dan tidak dapat menjadi realiti. Oleh itu, remaja kita perlu terjaga daripada lena dan keasyikan serta melengkapkan diri dengan ciri-ciri yang mulia supaya dapat menempatkan diri sebagai modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Semoga negara kita dapat berdiri dengan gah di pentas antarabangsa bergandingan dengan negara maju yang lain dan terkenal di seantero dunia.



KARANGAN: PERANAN IBU BAPA DALAM MEMBENTUK MASYARAKAT PENYAYANG

PERANAN IBU BAPA DALAM MEMBENTUK MASYARAKAT PENYAYANG

Pada alaf baharu ini, ibu bapa diberikan peranan yang penting kepada masyarakat dan negara. Media cetak mahupun media elektronik sering menyiarkan obligasi yang wajib dipikul oleh ibu bapa. Dalam kalangan ibu bapa dalam masyarakat hari ini selalu diberi perhatian oleh orang ramai terutamanya kerajaan dalam hal yang bersangkut-paut dengan pembentukan masyarakat penyayang. Mantan Perdana Menteri Malaysia ke-5 iaitu Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi memberitahu bahawa membentuk masyarakat penyayang amat penting sekali. Masyarakat penyayang merupakan masyarakat yang anggotanya mengamalkan sikap yang sayang-menyayangi, hormat-menghormati, bantu-membantu, dan nilai murni yang lain. Masyarakat seperti ini menjadi impian negara kita untuk merealisasikan Wawasan 2020.  Oleh itu, terdapat pelbagai langkah-langkah pragmatik yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk membentuk masyarakat penyayang.

          Peranan ibu bapa yang paling signifikan ialah ibu bapa perlu memberikan kasih sayang kepada anak-anak. Ibu bapa seyogianya membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh. Namun begitu, terdapat kalangan ibu bapa yang mengabaikan anak-anak mereka. Hal ini kerana ibu bapa tersebut lebih mementingkan kemewahan hidup dan kekayaan. Oleh itu, ibu bapa seharusnya lebih banyak meluangkan masa dengan anak-anak mereka pada alaf globalisasi ini. Kasih sayang ibu bapa dapat dilihat melalui kesanggupan ibu bapa meluangkan masa bersama dengan anak-anak. Pada masa itu, ibu bapa harus berkongsi masalah anak-anak dan menjadi pendengar setia kepada setiap luahan hati anak-anak. Contohnya, ibu bapa boleh membawa anak-anak mereka bercuti semasa cuti sekolah untuk mengeratkan hubungan dan mengurangan tekanan anak-anak dalam aspek pembelajaran. Dengan ini, bibit-bibit kasih sayang akan mekar dalam jiwa anak-anak. Jadi, impian ibu bapa atau negara untuk membentuk masyarakat penyayang akan tercapai jua.

          Selain itu, ibu bapa sewajarnya memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak semenjak kecil lagi bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Akan tetapi, ibu bapa kini terlalu mengagung-agungkan kemodenan sehingga mengabaikan tanggungjawab hakiki mereka dalam mencurahkan  didikan agama kepada nanak-anak. Hal ini berlaku kerana mereka beranggapan bahawa didikan agama tidak penting dalam arus kemajuan teknologi satelit masa kini. Oleh itu, ibu bapa sewajarnya menerapkan didikan agama kepada anak-anak mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap agama amat mementingkan hubungan baik dengan Pencipta, sesama manusia dan alam sekitar. Hai ini akan tercapai dengan adanya nilai kasih sayang dalam kehidupan. Misalnya, mereka perlu menggalakkan anak-anak mengikuti kelas agama supaya anak-anak akan menjadi insan yang penyayang. Di samping itu, mereka seharusnya memberikan pengajaran yang baik kepada anak-anak mereka ketika anak-anak itu masih dalam buaian lagi. Jelaslah, hasrat ibu bapa dalam melahirkan generasi yang penyayang akan menjadi kenyataan pada suatu hari nanti melalui didikan agama yang teguh.

         Seperkara lagi, ibu bapa seharusnya menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak-anak. Namun demikian, terdapat kalangan ibu bapa yang berperangai buruk seperti menjadi pendera, perogol dan sebagainya. Oleh itu, ibu bapa perlu menjadi entiti mithali kepada anak-anak yang masih belum keras ubun-ubunnya sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini dikatakan demikian kerana ibu bapa perlu menunjukkan sikap yang penyayang kepada anak-anak sejak kecil lagi seperti sering membawa anak-anak menziarahi orang tua di kampung. Lama-kelamaan generasi muda akan mengikut tabiat yang positif ini dan masyarakat penyayang akan dilahirkan. Ringkasnya, peranan ibu bapa amatlah besar dalam melahirkan masyarakat yang penyayang pada alaf globalisasi ini.

          Jika kita tinjau dari perspektif yang berbeza pula, ibu bapa juga harus menjaga keharmonian rumah tangganya. Hal ini dikatakan demikian kerana kerharmonian rumah tangga dapat mewujudkan sebuah keluarga yang bahagia dan hidup dengan penuh limpahan kasih sayang. Ikatan kasih sayang yang teguh daripada ibu bapa sudah pasti dapat membentuk jiwa anak-anak dengan nilai kasih sayang dan sekali gus mereka akan mencontohi sikap penyayang ibu bapa mereka kerana kepimpinan melalui teladan. Ibu bapa seyogianya memastikan hubungan kekeluargaan sesama ahli keluarga erat bagi melahirkan keluarga yang penyayang. Hal ini dapat dipraktikkan dengan mengelakkan sebarang pergaduhan dan pertengkaran di hadapan anak-anak yang masih belum keras ubun-ubunnya dan sentiasa menghormati pasangan hidup masing-masing. Dengan adanya sikap toleransi dan hormat-menghormati ditambah lagi dengan kasih sayang maka impian kita untuk melahirkan masyarakat yang penyayang dapat direalisasikan.

          Bukan itu sahaja, ibu bapa juga haruslah melibatkan anak-anak dalam aktiviti masyarakat. Ibu bapa seyogianya mendekatkan anak-anak mereka dengan masyarakat setempat bagi mewujudkan hubungan yang baik dengan masyarakat. Dengan ini, anak-anak akan dapat mengenali ahli komunitinya dengan lebih dekat lagi dan perasaan sayang akan timbul dalam sanubari mereka kerana kata orang, tak kenal maka tak cinta, sudah kenal baru jatuh cinta. Contohnya, ibu bapa boleh mengajak anak-anak untuk menyertai gotong-royong di kawasan tempat tinggal atau solat berjemaah di surau atau di masjid. Bukan itu sahaja, keprihatinan ibu bapa tatkala jiran kita ditimpa musibah dengan menghulurkan sedikit sumbangan sama ada dari sudut fizikal, material dan sokongan sudah tentu dapat membuka mata anak-anak untuk membuat perkara yang sama apabila mereka dewasa kelak. Secara implisitnya, perasaan kasih sayang akan mekar dalam kehidupan masyarakat kita.  Sesungguhnya, hubungan silaturahim yang erat mampu melahirkan masyarakat yang penyayang.

            Secara deduksinya, ibu bapa memainkan peranan yang signifikan dalam melahirkan masyarakat yang penyayang. Namun begitu, tindakan mengharapkan ibu bapa semata-mata juga tidak akan berkesan kerana tepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Setiap individu dalam kalangan masyarakat harusnya mengambil  inisiatif untuk melakukan anjakan paradigma bagi  merealisasikan pembentukan masyarakat  penyayang dalam kalangan rakyat Malaysia. Dengan cara ini, masyarakat kita akan dipandang tinggi sebagai sebuah bangsa yang bukan sahaja maju dari aspek kebendaannya, malah kaya dengan budaya penyayang. Secara tidak langsung juga, imej negara akan harum di persada dunia dan masyarakat Malaysia akan dianggap sebagai masyarakat  kelas pertama kerana ketinggian akhlaknya bak kata pujangga, “Sesungguhnya bangsa akan kekal utuh selagi akhlaknya masih utuh. Jika akhlaknya sudah lumpuh, mereka pun akan lenyap.”



KARANGAN: KESAN GLOBALISASI KE ATAS BUDAYA MASYARAKAT

KESAN GLOBALISASI KE ATAS BUDAYA MASYARAKAT

Pendahuluan:
Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas – warisan budaya bangsa perlu dipertahankan agar sentiasa releven dan diingati oleh masyarakat Malaysia, terutamanya golongan muda-mudi – kemasukan budaya asing sudah mula menjajahi minda warisan yang dianggap pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara – Fenomena ini melunturkan semangat menghargai warisan bangsa – remaja seperti saya memainkan peranan penting untuk mengembalikan zaman kegemilangan untuk warisan rakyat Malaysia supaya tinggalan nenek moyang kita sentiasa subur dalam sanubari kita
Isi-isi:
(a) Sebagai remaja, saya akan mengaktifkan diri dalam persatuan atau kelab permainan tradisional – menyertai aktiviti dalam kelab tersebut – saya dapat memahami permainan tradisional yang terdapat di Malaysia – tak kenal maka tak cinta – menghadiri perjumpaan dan belajar bermain permainan seperti congkak dan gasing, kita dapat mengetahui betapa halusnya dan tingginya tahap pemikiran nenek moyang kita yang mewariskan permainan ini kepada kita – warisan bangsa ini dapat diturunkan dari satu generasi kepada satu generasi – di mana ada kemahuan, di situ ada jalan
(b) Anak remaja seperti saya yang umur baru setahun jagung, darah baru setampuk pinang perlulah mengingati warisan nenek moyang seperti pantang larang sekali gus mempraktikkannya – kita akan memperoleh pengetahuan dan pengalaman yang banyak daripada amalan tersebut – kita dapat mengetahui kebaikan yang diperoleh daripada amalan pantang larang tersebut – anak gadis tidak digalakkan duduk di anjung rumah dan bernyanyi di dapur – pantang larang ini sebenarnya mendisiplinkan diri kita selain dapat menglakkan anak gadis daripada terjerumus dalam kebejatan sosial – warisan dan amalan nenek moyang harus dijadikan tunjang kehidupan agar kita berjati diri teguh untuk menangkis segala godaan anasir yang jahat yang mampu menggadaikan maruah diri dan keluarga – tidak menconteng arang di muka ibu bapa kita
(c) Golongan pelajar seperti saya sewajarnya memainkan peranan yang penting denganmengetengahkan pakaian tradisional – pemakaian busana klasik ini bukan sahaja menutup aurat, malah dapat menonjolkan keistimewaan Malaysia kepada jagatraya – memakai pakaian tradisional untuk menghadiri majlis rasmi atau majlis tidak rasmi seperti jamuan – pakaian tradisional seperti baju kurung dan baju kebaya bukan sahaja menampilkan kecantikan diri seseorang gadis malah kemanisan gadis yang memelihara adab pemakaian dan adab berjalan apabila berpakaian tradisional – bangga jika busana tradisional kita dipakai oleh model terkenal dunia lalu berjalan di pentas fesyen dunia – harus mengorak langkah untuk merealisasikannya keranagenggam bara api, biar sampai jadi arang
(d) Kita sepatutnya menunjukkan penghargaan kepada golongan tua dengan mempelajari cara penyediaan makanan tradisional – Golongan yang lebih banyak makan garam ini telah mencipta makanan tradisisional yang berwarna warni untuk terus dapat dinikmati oleh muda-mudi zaman globalisasi ini – nenek atau datuk kita pasti sejuk hati melihat kejayaan kita menyediakan makanan kegemaran mereka seperti petai, jering, kuih-muih dan sebagainya – makanan tradisional yang bebas daripada bahan kimia bukan sahaja lebih sihat, malah dapat memperkukuh silaturahim dan ukhuwah antara golongan tua dengan yang muda
(e) Peribahasa bagaimana acuan, begitulah kuihnya juga jelas menunjukkan kebijaksaan golongan veteran menyamakan sikap ibu bapa kepada anak-anak mereka – golongan muda seperti saya sepatutnya memberikan teladan yang baik kepada adik-adik kita supaya mengenali dan mengamalkan warisan rakyat Malaysia – membawa adik kita bermain wau, congkak, mahupun menyertai pertandingan membuat wau – mampu mencambahkan minat anak-anak muda untuk terus berkecimpung dalam bidang tugas yang diperturunkan oleh nenek moyang kita - menghargai dan menjadikannya sebagai kayu pengukur tahap pemerimaan kita terhadap nenek moyang kita dan betapa kita menghormati dan menyanjungi mereka
Penutup:
Tiada kusut yang tidak boleh dileraikan, tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan – arus globalisasi yang mengalir deras dalam kehidupan kita tidak wajar menghakiskan jati diri kita yang sebenar – warisan kita tanggungjawab kita – kita harus mengekalkan warisan nenek moyang kita –menggembleng tenaga demi memastikan warisan kita terus berdiri teguh di belakang kita sebagai warisan yang tidak boleh dijual beli oleh bangsa lain – Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh!



KARANGAN: KESAN PEKERJA ASING DAN LANGKAH MENGATASINYA

KESAN KEHADIRAN PEKERJA ASING DAN LANGKAH MENGATASINYA.

Pendahuluan
Kedatangan pekerja asing ke negara kita bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan - Pekerja asing merujuk kamus bermaksud tenaga kerja yang datang dari negara lain seperti Indonesia, Bangladash, Filipina, Thailand, dan sebagainya – dianggap sebagailombong emas kerana di mana ada gula, di situ ada semut – Sektor yang menjadi tumpuan – sektor pertanian, perkilangan dan perladangan – Dasar kerajaan yang membuka lebih luas peluang pelaburan serta memberi layanan dan kemudahan kepada pelabur asing untuk membina kilang mereka di sini merancakkan kedatangan mereka lagi – membawa kesan-kesan negatif

Isi-isi:
Kesan-kesan negatif:
(a) menyekat peluang pekerjaan penduduk tempatan  sikap majikan di negara gemar mengupah pekerja asing – kadar upah murah – sikap tidak memilih pekerjaan – hidup penduduk tempatan tersepit – kera di hutan disusui, anak di rumah mati kelaparan – Buktinya, hampir 2.1 juta rakyat tempatan hilang peluang pekerjaan – kadar pengangguran semakin meningkat
(b) Peningkatan jenayah - tidak mempunyai gaji yang mencukupi dan tidak mempunyai pekerjaan – kos sara hidup semakin meningkat sebagai akibat kemelut ekonomi global - pecah rumah, kecurian, rogol, rusuhan, dan lain-lain – Mantan Ketua polis Negara ( KPN) Tan Sri Musa Hassan mengakui pendatang asing yang melebihi 2.4 juta orang di negara ini menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah
(c) Kesan ekonomi  pengaliran keluar mata wang negara pada kadar yang banyak pada setiap bulan – merugikan negara dari segi tukaran wang asing dan menguntungkannegara asal pekerja asing ini - sistem transaksi canggih di bank-bank negara kita – proses pertukaran wang dapat dilakukan dengan mudah dan cepat serta perkhidmatan yang murah – Bukti statistik, sebanyak RM9.124 juta telah dihantar ke negara asal pekerja asing di antara bulan Januari hingga Jun 2008 – membebankan kewangan negara – RM1.169 juta digunakan sehari oleh kerajaan sebagai kos untuk penahanan PATI – akan merugikan negara dari segi kerancakan perniagaan dan melemahkan kerancakan ekonomi di negara kita
Langkah-langkah membendungnya:
(d) mengehadkan pergantungan kepada buruh asing - menimbulkan pelbagai masalah sosial dan keselamatan – pengambilan pekerja asing dalam sektor-sektor tertentu mengikut negara sumber yang diluluskan kerajaan - pihak berkuasa akan mampu memantau kehadiran dan pergerakan warga asing di negara ini - Dengan mengehadkan penyertaan pekerja asing dalam sektor perladangan dan pembantu rumah, mudahlah rakyat serta pihak berkuasa mempersoal dan mengambil tindakan segera ke atas kehadiran rakyat asing yang tiada permit kerja dalam sektor-sektor yang ditetapkan oleh kerajaan - Jelasnya, pihak ejen dan majikan yang mengambil pekerja asing perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan.
(e) menguatkuasakan undang-undang dengan lebih tegas - Hal ini kerana banyak pekerja asing adalah pendatang haram yang menyusup masuk dengan menggunakan dokumen palsu. Akta imigresen perlulah lebih tegas agar pendatang haram ini tidak berani bertindak lebih jauh. Perairan negara juga haruslah dikawal sepanjang masa untuk mengelakkan mereka menyusup melalui jalan laut.
Penutup: (KCHP)
Kedatangan pekerja asing ini tetap ada kebaikannya - kerajaan haruslah mengkaji segala aspek dari segi ekonomi, politik, dan sosial – kesejahteraan dan pembangunan negara.

KARANGAN : PUNCA DAN LANGKAH MEWUJUDKAN KESEDARAN SIVIK

KESEDARAN SIVIK DALAM KALANGAN MASYARAKAT

Kesedaran sivik boleh ditakrifkan sebagai rasa sedar yang mendalam dan berterusan serta muncul dari hati seseorang atas dasar tanggungjawab untuk memelihara hak dan kepentingan awam. Kesedaran sivik akan menjadikan seseorang individu itu warganegara yang ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk mempertahankan kepentingan awam untuk dikongsi bersama. Hari ini, kita begitu megah mengatakan bahawa negara kita telah maju dan pesat membangun seiring dengan era globalisasi namun, tanpa kita sedari kesedaran sivik dalam kalangan rakyat Malaysia begitu rendah malah semakin luntur ditelan arus pemodenan. Hal ini terbukti apabila masih terdapat dalam kalangan masyarakat kita, individu-individu yang masih tidak menghormati satu sama lain. Kata-kata, “Yang muda disayangi, yang tua dihormati,” tidak dapat kita lihat daripada perlakuan mereka. Apabila berada di dalam pengangkutan awam seperti bas, monorel mahupun kereta api, masih banyak lelaki yang sasa dan bergaya, tidak sanggup untuk memberi tempat duduk kepada wanita tua atau ibu mengandung yang tidak berdaya. Di perhentian-perhentian bas pula, sampah-sarap yang mengotorkan dan menyakitkan mata memandang juga bukan perkara asing di mana-mana tempat di negara kita. Di manakah silapnya sehingga pada zaman negara mengorak langkah ke arah menjadi negara maju pun, fenomena negatif yang memperlihatkan kerendahan kesedaran sivik masyarakat kita masih berleluasa dan dapat kita lihat di mana-mana? Pada pendapat saya, kita harus meneliti dan mendalami permasalahan ini agar langkah yang ampuh dan berkesan dapat dilaksanakan bagi menyuburkan kesedaran sivik ini dalam kalangan masyarakat kita.
Pepatah ada mengatakan bahawa anak-anak adalah ibarat kain putih; ibu bapalah yang yang akan mencorakkan kehidupan dan peribadi mereka yang sebenarnya. Pepatah ini menggambarkan betapa pentingnya peranan ibu bapa dalam mencorakkan peribadi yang positif dalam diri anak-anak mereka. Malahan, rumah adalah ibarat syurga kepada setiap anak yang lahir ke dunia ini. Dari rumah, mereka mengenal erti kasih sayang, perasaan saling memahami serta saling menghormati. Namun, hakikat yang amat pahit untuk diterima adalah terdapat banyak daripada kalangan masyarakat kita kini yang menjadikan rumah sebagai neraka buat anak-anak mereka. Kajian Jabatan Kebajikan Masyarakat mendapati bahawa kadar perceraian dan rumah tangga bermasalah semakin hari semakin meningkat terutama di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, George Town dan Johor Baharu. Perceraian memperlihatkan masalah rumah tangga antara suami isteri yang berpunca daripada permusuhan, perkelahian dan kecurangan antara suami isteri. Siapakah saksi kepada semua permasalahan ini? Sudah pastilah insan-insan lain dalam institusi rumah tangga itu, iaitu anak-anak. Tanpa disedari oleh ibu bapa, mereka telah memusnahkan keceriaan rumah tangga dan alam remaja anak-anak mereka menyebabkan anak-anak turut berendam air mata. Menyaksikan ibu bapa ‘seperti anjing dengan kucing’, akan mempengaruhi pertumbuhan jiwa anak-anak terutama remaja yang sedang meningkat dewasa. Perasaan marah kepada ibu bapa ini akan mewujudkan luka jiwa yang amat dalam kepada anak-anak. Maka, akan terdapat antara mereka yang melepaskan kemarahan itu di luar rumah, iaitu dengan menconteng atau melakarkan ‘graffiti’ di tempat-tempat menunggu bas atau merosakkan harta benda awam seperti tandas dan telefon awam. Malahan, terdapat juga dalam kalangan mereka yang bertindak seperti ‘marahkan pijat, kelambu dibakar’ iaitu melepaskan kemarahan dan dendam mereka kepada orang lain seperti guru-guru dan rakan-rakan dengan menunjukkan sikap biadab dan mengeluarkan kata-kata yang tidak sopan. Segala perlakuan ini dapat kita lihat dalam kehidupan kita sehari-hari menjadi bukti rendahnya kesedaran sivik di kalangan masyarakat terutama golongan remaja. Malahan, kajian polis mendapati bahawa lapan puluh peratus daripada remaja yang ditangkap atas pelbagai kesalahan jenayah merupakan mereka yang datang dari keluarga yang bermasalah. Justeru tidak keterlaluan jika kita menyatakan bahawa salah satu punca kurangnya kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat adalah berpunca daripada kelonggaran dalam institusi rumah tangga itu sendiri sehingga menyebabkan jiwa anak-anak menjadi tidak subur atau terbantut. Seterusnya, perkara tersebut akan mempengaruhi perlakuan mereka.

Semangat patriotik yang rendah juga menjadi sebab lunturnya kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini. Anak-anak hari ini kurang dididik agar berbangga menjadi rakyat Malaysia. Oleh itu, perasaan sayang akan negara dan berbangga menjadi warganegara Malaysia masih amat kurang dalam kalangan masyarakat kita. Satu contoh yang jelas membuktikan pernyataan ini adalah apabila Lagu Kebangsaan, Negaraku, berkumandang di udara. Berapa ramaikah antara kita yang berhenti dan berdiri tegak secara sukarela bagi menghormati lagu tersebut? Berapa ramaikah pula antara kita yang masih mengetahui Rukun Negara dan menghayatinya? Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa jumlahnya adalah terlalu sedikit; iaitu hanya dalam kalangan warga ‘senior’ kita. Apabila tahap kesedaran dan kecintaan terhadap negara rendah, natijahnya, perasaan ‘Negara KitaTanggungjawab Kita’ juga turut kurang dalam diri setiap individu. Justeru tidak ada perasaan bersalah apabila seseorang itu merosakkan bunga di taman-taman rekreasi. Tidak ada juga perasaan dan keinginan dalam hati mereka untuk mencantikkan setiap kawasan di negara ini. Justeru, ada yang tidak berasa bersalah apabila mereka membuang sampah di tempat-tempat yang tidak sepatutnya, seperti ke dalam sungai atau di mana-mana yang difikirkan selesa untuk mereka berbuat demikian. Perkara yang jelas adalah wujudnya sikap, ‘aku, aku dan engkau, engkau’ dalam diri masyarakat kita. Oleh itu, perasaan sepunya terhadap harta benda awam, perasaan menghormati pelbagai kaum atas dasar ini ialah tempat kita dan negara ini ialah negara kita dan kitalah yang bertanggungjawab atas keharmonian, kesejahteraan serta keindahannya, tidak wujud dalam diri mereka yang terlibat. Maka, sehingga hari ini, kita masih menyaksikan perlakuan-perlakuan negatif yang memperlihatkan bahawa tahap kesedaran sivik masyarakat ternyata masih rendah.

Ketidakmampuan sistem pendidikan menerapkan nilai-nilai murni dan akhlak kepada para pelajar turut menyebabkan kesedaran sivik masih belum membanggakan dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini. Selain rumah, sekolah merupakan institusi murni yang berperanan membentuk sahsiah dan peribadi seseorang individu. Di sekolah yang terdapat pelajar daripada pelbagai bangsa dan agama, maka integrasi kaum berlaku. Melaluinya, para pelajar mempelajari adat dan budaya kaum lain. Mereka juga belajar menerima, memahami dan menghormati satu sama lain walaupun mereka dari latar belakang bangsa dan kaum yang berbeza. Namun, kenapakah kita masih menyaksikan pelajar-pelajar yang tidak menghormati satu sama lain? Mengapakah nilai-nilai murni seperti mematuhi undang-undang dan peraturan serta hormat-menghormati masih kurang dipraktikkan oleh para pelajar seluruh negara? Dalam hal ini, kita tidak menafikan kepentingan sekolah kepada kehidupan seseorang individu.Namun, keberkesanan fungsinya sebagai tempat untuk mencerna peribadi murni dalam kalangan para pelajar masih boleh dipertikaikan. Tambahan pula pada masa kini, keunggulan serta kecemerlangan sesebuah sekolah diukur dari segi pencapaian akademiknya. Jika tinggi peratus kelulusan para pelajar, maka dikatakan bahawa sekolah itu ialah sebuah sekolah yang baik. Hambatan untuk menghasilkan pelajar yang cemerlang akademik inilah yang menyebabkan guru-guru bertungkus-lumus melatih anak-anak didik mereka agar mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Waktu pengajaran dan pembelajaran juga adalah untuk mencapai matlamat yang sama ini. Natijahnya, tugas untuk mendidik sahsiah serta membentuk perkembangan emosi para pelajar semakin dikesampingkan. Malahan,terdapat sesetengah sekolah yang mengetepikan terus kegiatan kokurikulum untuk pelajar-pelajar kelas peperiksaan semata-mata untuk memberi penekanan kepada peperiksaan. Hal ini pernah diselar oleh Menteri Pelajaran yang berasa kesal terhadap tindakan sesetengah pengetua sekolah yang tidak memberi penekanan kepada bidang kokurikulum sehingga matlamat menghasilkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek tidak tercapai sepenuhnya. Jika di rumah anak-anak gagal terdidik, di sekolah juga mereka tidak menerima bimbingan yang sewajarnya, maka tidak hairanlah jika kita masih melihat ketempangan peribadi anak-anak muda kita yang masih rendah kesedaran siviknya.

Pada era globalisasi ini, negara kita begitu ghairah untuk mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Gagasan idea mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bin Mohamed ini telah menjana pembangunan yang amat pesat dalam pelbagai bidang di negara kita, terutama bidang telekomunikasi dan perindustrian. Sememangnya, idea tersebut merupakan impian murni setiap warganegara kerana pembangunan dan kemajuan akan menjanjikan peningkatan taraf hidup masyarakat kita. Namun,kita terpaksa membayar harga yang mahal untuk segala yang dinikmati itu. Keghairahan mengejar kebendaan telah mewujudkan golongan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Kemajuan serta pembangunan pesat juga telah meragut semangat kejiranan dan kemesraan dalam masyarakat. Sikap ‘siapa lu siapa gua’ semakin berleluasa. Hidup bak ‘enau dalam belukar, hanya melepaskan pucuk masing-masing’ sudah menjadi kelaziman dalam masyarakat. Natijahnya, kepentingan terhadap kebendaan ini menyebabkan seseorang bertindak tanpa mementingkan perasaan dan kebajikan orang lain. Dengan alasan tidak mahu menjaga tepi kain orang lain, masyarakat, terutamanya yang di bandar-bandar besar hanya sibuk dengan kerjaya dan urusan masing-masing. Kegiatan gotong-royong yang diadakan hanya akan disertai jika terdapat orang-orang besar yang merasmikannya. Jika tidak, amalan bergotong-royong itu tidak akan mendapat sambutan. Oleh yang demikian, kita menyaksikan masyarakat di bandar-bandar besar mengadakan majlis kenduri dan perkahwinan di hotel-hotel. Dengan berbuat demikian, mereka sebenarnya telah membunuh semangat kerjasama yang mewujudkan silaturrahim serta keharmonian dalam masyarakat. Peluang untuk saing mengenal dan bertegur sapa antara jiran juga tidak dapat dipraktikkan. Jadi, tidak hairanlah jika dikatakan kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat kita semakin berkurang. Malahan lebih malang daripada itu, sikap mementingkan diri juga turut menimbulkan masalah lain. Sebagai contoh, apabila berlaku sesuatu kemalangan, terdapat individu yang terus memandu tanpa menghiraukan mangsa kemalangan yang memerlukan bantuan. Hal ini bermakna, di samping menghapuskan kesedaran sivik, sikap individualistik ini yang diakibatkan oleh pembangunan ini juga telah turut membunuh rasa kemanusiaan di kalangan sesetengah daripada kita.

Sejajar dengan perkembangan teknologi telekomunikasi dan alam siber. internet, media massa seperti televisyen dan sebagainya telah mendominasi kehidupan sebahagian besar daripada masyarakat. Sasaran pembangunan ini juga tidak mengecualikan golongan kanak-kanak dan remaja. Kita tidak bimbang jika perkembangan tersebut adalah sesuatu yang positif. Malangnya, filem-filem yang ditayangkan di televisyen begitu dikuasai oleh filem-filem luar terutamanya filem-filem dari Barat. Bersama-sama filem tersebut ialah nilai-nilai kehidupan masyarakat Barat yang amat bertentangan dengan budaya dan amalan kita masyarakat Timur. Kebanyakan rancangan dari Barat ini memaparkan anak-anak yang sudah tidak lagi menghormati ibu bapa mereka. Mereka kononnya mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat dan kehendak mereka. Malahan, pada kebanyakan siri filem atau drama Barat ini ditonjolkan bahawa keluarga terutama ibu bapa yang sudah tua, tidak lagi penting buat anak-anak mereka. Bahkan, bagi anak-anak yang sudah berkeluarga, ibu bapa adalah terpisah terus daripada kehidupan mereka. Jika kita perhatikan, paparan remaja Barat di sekolah juga amat berbeza daripada para pelajar dalam sistem pendidikan kita yang begitu menekankan nilai-nilai murni dan adab antara guru dan pelajar. Di Barat, pelajar boleh meletakkan kaki di atas meja semasa guru sedang mengajar. Perkara- perkara ini disertai maklumat-maklumat negatif dari internet secara perlahan-lahan telah mempengaruhi dan menghakis nilai dan kesopanan masyarakat kita. Justeru kita melihat kepincangan akhlak dan peribadi masyarakat kita semakin hari semakin ketara. Jadi, tidak hairanlah jika kesedaran sivik seperti sikap menghormati guru dan orang yang lebih tua juga semakin hari semakin luntur dalam kalangan masyarakat kita hari ini.

Walaupun petanda-petanda kerendahan kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat semakin jelas, namun, kita tidak boleh hanya berpeluk tubuh dan membiarkan permasalahan ini semakin serius. Oleh itu, sebelum ’nasi menjadi bubur’, sebelum ’yang bengkok terus menjadi patah’, langkah-langkah untuk mengembalikan nilai murni dan kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat perlu segera dilaksanakan. Dalam hal ini, kita terpaksa meletakkan tanggungjawab penting ini kepada pihak pendidikan. Hal ini juga turut disedari oleh Menteri Pelajaran kita. Oleh sebab itu, beliau telah mengarahkan agar kurikulum semua mata pelajaran yang sedia ada dirombak semula. Jika melalui Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM), elemen nilai-nilai murni wajib diterapkan dalam setiap mata pelajaran, maka dalam kurikulum baru yang disemak semula, perkara ini ditambah pula dengan meletakkan elemen semangat patriotik sebagai sesuatu yang wajib diterapkan dalam pengajaran. Selain itu, nilai-nilai kesusasteraan pula kini diterapkan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Melalui cerpen, novel, drama dan puisi yang diajarkan dari peringkat Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima, tema-tema yang berkenaan dengan nilai-nilai murni dan semangat cinta akan negara telah diterapkan. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed pernah menyatakan bahawa kita perlu mencontohi sikap masyarakat Jepun. Walaupun negara mereka semakin maju, namun, masyarakatnya masih mengekalkan nilai-nilai murni di samping mengamalkan budaya dan adat resam bangsa mereka. Malahan di negara-negara Jepun dan Korea ini, yang merupakan dua buah negara gergasi perindustrian ini, institusi pendidikan begitu dihormati oleh ibu bapa kerana mereka menyedari bahawa daripada sekolah, anak-anak mereka dididik dan diasuh untuk menjadi insan yang sempurna. Malahan, sistem pendidikan di kedua-dua buah negara ini amat menitikberatkan mata pelajaran kesusasteraan dan sejarah, dari peringkat rendah hingga ke peringkat pengajian tinggi. Mereka percaya bahawa dengan mengenali asal usul bangsa serta keindahan bahasa dan budaya mereka, mereka dapat melahirkan rakyat yang tinggi semangat cinta akan negaranya. Semangat inilah yang membawa negara mereka pada kemajuan kerana rakyatnya sanggup berkorban jiwa dan raga demi negara yang tercinta. Justeru dalam usaha untuk melahirkan semangat cinta akan negara serta menerapkan kesedaran sivik yang tinggi dalam diri anak-anak remaja kita, maka tidak boleh tidak, perubahan dalam sistem pendidikan perlu dilaksanakan. Dalan hal ini, guru-guru juga memerlukan orientasi baru agar turut memberi perhatian pada sahsiah dan nilai-nilai murni anak-anak didik mereka dan tidak hanya berusaha membimbing mereka mencapai kejayaan dalam bidang akademik.

Selain usaha di atas, pihak sekolah perlu juga melaksanakan aktiviti kokurikulum dengan lebih giat dan berkesan. Kita perlu sedar bahawa aktiviti kokurikulum merupakan wahana yang paling berkesan dalam membentuk sikap murni seperti bertanggungjawab, bekerjasama dan hormat-menghormati dalam diri para pelajar. Sebagai contoh, aktiviti perkhemahan yang dianjurkan oleh badan-badan beruniform seperti Pengakap dan Kadet Remaja Sekolah, akan membentuk semangat berpasukan yang tinggi dalam kalangan ahlinya. Mereka akan bersama-sama mendirikan khemah, mematuhi giliran memasak dan sebagainya , sepanjang perkhemahan diadakan. Selain itu, aktiviti kawat kaki dan latihan-latihan yang diadakan pula akan membentuk para pelajar yang mematuhi masa dan sentiasa berdisiplin. Aktiviti bergotong-royong oleh persatuan-persatuan dan kelab-kelab sama ada di sekolah, mahupun di kawasan sekitar sekolah pula akan menanamkan perasaan bertanggungjawab para pelajar terhadap alam sekitar serta sekolah mereka. Bak kata pepatah, ‘tak kenal , maka tak cinta.’ Justeru melalui program-program yang dijalankan, para pelajar akan membentuk jati diri dan sikap positif dalam diri mereka. Mereka akan lebih bersikap ‘membina’ daripada ’meruntuhkan’ atau membinasakan sesuatu. Mereka juga akan lebih bertanggungjawab terhadap segala kemudahan yang disediakan untuk kegunaan ramai. Oleh itu, melalui pelaksanaan aktiviti kokurikulum yang lebih berkesan, kita berharap agar tidak ada lagi telefon awam yang dirosakkan, atau tandas awam yang diconteng dengan kata-kata yang tidak menyenangkan mata memandang. Sebaliknya, kita akan dapat menyaksikan masyarakat yang lebih bertolak-ansur, umpamanya, mereka tidak berebut-rebut lagi ketika menaiki bas awam atau komuter. Anak-anak muda kita juga akan lebih menghormati golongan yang tua kerana tahap kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat telah meningkat.

“Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara” merupakan kata-kata yang melambangkan kepentingan generasi muda terhadap pembangunan sesebuah negara. Oleh itu, kita mahu melahirkan golongan remaja yang berwibawa dan berketerampilan dalam pelbagai bidang agar mereka dapat menyumbang tenaga dan bakti kepada negara. Hal ini tidak akan tercapai jika remaja kita rendah kesedaran siviknya serta kurang jati dirinya. Justeru usaha kerajaan untuk mewajibkan remaja yang berusia lapan belas tahun menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mampu meningkatkan kesedaran sivik dalam kalangan golongan muda di negara kita ini. Latihan-latihan yang diikuti adalah bermatlamat untuk membentuk jati diri dan sikap positif dalam diri remaja. Malahan, lebih daripada itu, program tiga bulan ini akan melarikan para remaja daripada pelbagai gejala negatif seperti melepak, merambu dan melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah. Latihan-latihan yang dijalankan juga akan memberi penekanan pada kepentingan kesedaran sivik, kepentingan mencintai negara,kepentingan pembentukan modal insan serta kepentingan untuk membina kemandirian dan jati diri agar sikap positif ini akan tumbuh subur dalam diri anak-anak remaja negara kita. Apabila para remaja ini mempunyai rasa bertanggungjawab terhadap diri, bangsa dan negara, secara tidak langsung, mereka juga akan bertanggungjawab terhadap hak dan kepentingan orang lain. Hasilnya, diharapkan agar melalui program Khidmat Negara ini, negara akan dapat melahirkan masyarakat yang lebih tinggi tahap kesedaran siviknya.

“Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.” Kita mahu melahirkan masyarakat yang hidup seperti aur dengan tebing, saling menguatkan antara satu sama lain. Kita mahu melahirkan masyarakat yang kukuh semangat kejiranannya serta sentiasa bersedia untuk bekerjasama demi kebaikan bersama. Dalam hal ini, saya berpendapat agar amalan bergotong-royong yang menjadi teras konsep bekerjasama dalam masyarakat kita perlu disuburkan kembali, terutamanya di kawasan-kawasan bandar. Pada tahap awal, kita berharap agar para menteri dan Wakil Rakyat turut turun padang bersama-sama dengan rakyat dalam aktiviti gotong-royong yang diadakan. Apabila budaya gotong-royong ini telah dapat diwujudkan, masyarakat akan dengan sendirinya mengatur program-program tersebut untuk kepentingan kawasan tempat tinggal mereka. Selain itu, amalan rumah terbuka serta ziarah-menziarahi pada musim-musim perayaan juga merupakan amalan positif yang akan meningkatkan kesedaran sivik dalam masyarakat kita. Melalui aktiviti ini, sesama jiran akan salin mengenali dan beramah mesra sesama mereka. Walau bagaimanapun, kita berharap agar kejadian berebut makanan yang berlaku dalam satu majlis terbuka anjuran seorang menteri beberapa tahun lalu akan dapat diatasi pada masa-masa akan datang. Kita mahu melihat bukan sahaja keharmonian hubungan pelbagai bangsa di negara kita tergambar melalui aktiviti tersebut, malahan juga kita mahu menampilkan adab yang tinggi dalam kalangan masyarakat kita yang terkenal dengan budi bahasa dan kesantunannya. Apabila program-program ini dapat disebarluaskan di seluruh negara, sudah pasti tahap kesedaran sivik masyarakat kita juga akan dapat ditingkatkan.

“Bagaimana acuan, begitulah kuihnya.” Peribahasa tersebut membawa maksud bahawa peribadi serta perlakuan ibu bapa akan menjadi ikutan kepada anak-anak mereka. Justeru jika kita ingin melihat kesedaran sivik subur dalam masyarakat, maka ibu bapa perlu memainkan peranan perdana dalam usaha ini. “Melentur buluh biarlah dari rebungnya.” Oleh itu, sesuatu perkara itu perlu dipupuk dari kecil oleh ibu bapa agar apabila anak-anak memasuki alam persekolahan, nilai-nilai asas yang positif seperti hormat-menghormati, beradab sopan dan bertolak-ansur telah sedia wujud dalam diri anak-anak mereka. Dalam hal ini, ibu bapa perlu mendidik anak-anak agar saling menghormati antara satu sama lain. Sebagai contoh, anak-anak yang lebih muda perlu menghormati kakak atau abang mereka yang lebih tua. Anak-anak juga diajar agar menghormati harta benda milik adik-beradik mereka serta harta benda bersama. Oleh itu, amalan bergotong-royong sesama ahli keluarga perlu diterapkan dari peringkat rumah lagi. Bukan sahaja amalan ini akan memudahkan pelaksanaan sesuatu pekerjaan, malahan kemesraan keluarga juga akan dapat ditingkatkan. Kita sedia maklum bahawa pada peringkat usia muda, anak-anak sedang membina identiti mereka. Oleh sebab itu, ibu bapa akan menjadi contoh teladan yang paling hampir untuk diikuti oleh anak-anak. Dalam hal ini, ibu bapa tidak boleh bersikap seperti ‘ketam yang mengajar anaknya berjalan betul’. Oleh itu, ibu dan bapa perlu sentiasa menunjukkan bahawa mereka juga saling menghormati sesama mereka agar nilai positif ini diikuti oleh anak-anak. Ibu bapa juga perlu menegur kesilapan anak-anak agar mereka mengetahui garis panduan antara perkara yang betul dan perkara yang salah. Kebanyakan permasalahan yang berlaku dalan kalangan remaja masa kini adalah disebabkan ibu bapa begitu takut untuk memperbetul dan menegur perbuatan negatif anak-anak mereka. Jika ibu bapa dapat memainkan peranan mendidik anak-anak mereka sewajarnya, maka sudah pasti masalah remaja kekurangan kesedaran sivik ini tidak akan wujud di negara kita.

Pilihan kita yang terakhir untuk membentuk masyarakat yang mempunyai tahap kesedaran sivik yang tinggi adalah melalui tindakan tegas dan penguatkuasaan undang-undang. Jika kita tinjau ke negara jiran kita, Singapura, kita akan begitu kagum akan rakyatnya yang begitu patuh akan peraturan serta amat bertanggungjawab terhadap harta benda awam. Namun, dasar sebenar sikap tersebut adalah daripada ketegasan kerajaan Singapura ‘mendidik’ rakyatnya.Setiap mereka yang didapati melanggar peraturan awam akan terus didenda. Malahan, dalam perkara penggunaan tandas awam pun,Singapura sentiasa memastikan penggunaannya yang betul Sesiapa yang didapati tidak menarik pam air selepas menggunakan tandas akan dikenakan hukuman pada masa itu juga. Negara kita juga perlu menguatkuasakan peraturan dan undang-undang yang melibatkan rakyat yang kurang kesedaran siviknya ini. Jika Singapura mewajibkan aktiviti khidmat masyarakat kepada sesiapa yang didapati melanggar hak-hak penggunaan harta benda awam seperti telefon awam, dan pembuangan sampah-sarap, mengapakah kita tidak boleh melaksanakannya? Golongan masyarakat yang ‘berkepala batu’ dan terlalu mementingkan diri sendiri ini sememangnya perlu dikenakan tindakan tegas. Setakat ini, tindakan hanya dikenakan kepada mereka yang didapati merosakkan telefon-telefon awam. Bagaimana pula dengan mereka yang tidak dapat membezakan antara tong sampah dengan tempat menunggu bas? Golongan ini juga perlu dikenakan tindakansewajarnya. Dalam hal ini, tindakan beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) menangkap orang ramai yang mengotorkan tempat-tempat awam dan mewajibkan mereka membersihkan tempat itu semula adalah amat dipuji. Hal ini disebabkan, melalui pelaksanaan peraturan yang tegas itu, orang ramai akan sentiasa beringat-ingat semasa menggunakan segala kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan untuk kemudahan mereka.

Kesimpulannya, walaupun masalah kurangnya kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat kita belum begitu parah, namun, kita perlu berusaha untuk membaikinya. Hal ini terutamanya dalam kalangan remaja kerana merekalah yang bakal mencorakkan hala tuju masa depan negara. Kita menginginkan agar kemajuan yang kita kecapi adalah selaras dengan pembangunan jiwa dan peribadi anak-anak bangsa kita. Justeru menyedari hakikat bahawa kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat masih rendah atau semakin luntur, semua pihak harus membuka mata dan memainkan peranan masing-masing untuk membina satu bangsa Malaysia yang berjaya dan mempunyai tahap kesedaran sivik yang tinggi. ‘Negara Kita Adalah Tanggungjawab Kita’. Oleh itu bersama-samalah kita seluruh warga negara yang tercinta ini memupuk sikap saling bekerjsama dan saling bersatu hati agar kemajuan yang diingini tercapai tanpa mengorbankan nilai dan susila bangsa dan agama kita.

Monday, June 20, 2016

LANGKAH MENGHARGAI WARGA KURANG UPAYA OKU

LANGKAH MENGHARGAI OKU
CARA MEMBANTU WARGA KURANG UPAYA

Pengenalan:
- OKU  -  kurang   bernasib   baik. Dilahirkan cacat @ kemalangan menyebabkan kecacatan.
- Cth kecacatan – penglihatan, pendengaran, anggota badan dll
- tidak   dapat   menjalani   kehidupan      sempurna   
- OKU perlu dibantu untuk mengubah kehidupan
- pelbagai   pihak   yang   perlu   memainkan   

Langkah 1: Menghormati/ tidak memandang hina
- mendidik anak-anak menghormati/ tidak memandang hina OKU.
- OKU juga mempunyai perasaan   ingin   dihargai,disayangi   
- anak-anak diajar supaya tidak memandang hina / tidak mentertawakan OKU
- menyedari OKU ciptaan Tuhan yg istimewa
- ibu   bapa   mendidik anak-anak menghormati OKU.

Langkah 2: kerajaan  menyediakan  peluang pendidikan dan kemahiran
- pendidikan dan kemahiran - penting demi masa depan.
- boleh mengubah kehidupan OKU/ menggurangkan penggantungan OKU kpd pihak lain
- mewujudkan   Kelas   Pendidikan   Khas – dilatih belajar hingga ke universiti
- menggunakan peralatan pendidikan khas utk memudahkan mereka.
- kerajaan   memainkan   peranan   penting   dalam   membantu   OKU -   
- Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Najib bin Tun Abdul  Razak -’Rakyat Didahulukan,Pencapaian Diutamakan’.

Langkah 3: swasta turut sama membantu golongan OKU menjalani kehidupan
- tidak boleh bersikap lepas tangan dan jangan menganggap OKU sebagai beban.
- contoh, pusat   beli-belah      menyediakan   kemudahan   untuk OKU seperti lorong khas, tandas dan tempat letak kenderaan
- orang ramai – jangan menyalahgunakan kemudahan OKU – tidak bertanggungjawab
- swasta – memasarkan hasil keluaran OKU – anyaman, bakul, kraftangan dll
- keperihatinan dan menunaikan tanggungjawab perlu dicontohi.

Langkah 4: media massa boleh menyebarkan   maklumat   peluang   pendidikan/   kerjaya   
- Menyebarkan peluang pendidikan kpd OKU dan peluang kerja yg sesuai kpd OKU
- boleh mengadakan Kempen   Masyarakat  Penyayang.  
- org ramai perlu dididik supaya menghormati OKU dan memberi peluang kpd OKU
- OKU perlu dibantu utk berdikari dan bukan minta dikasihani pd setiap
- nasib   OKU   akan   terbela – yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing

Langkah 5: Setiap individu menunjukkan nilai-nilai murni kpd OKU.
- individu   mempunyai   tangungjawab   membantu OKU.   
- membantu OKU semasa melintas jalan, menaiki bas atau  sebarang   bantuan,   
- perlu sedar - berat   mata   memandang,   berat   lagi   bahu   memikul.
- memberi peluang sama rata kpd OKU/ tidak menyisihkan OKU – dalam semua bidang – perniagaan , sukan, sosial dll
- tidak memandang rendah keupayaan OKU – berganding bahu memajukan OKU dlm masyarakat.

Kesimpulan:
- sudah terang lagi bersuluh,   pelbagai pihak perlu memainkan peranan   membantu   OKU.   
- semua   pihak   perlu   berganding   bahu kerana muafakat membawa berkat.
- mesti dibela agar duduk sam rendah, berdiri sama tinggi dgn masyarakat yang sempurna


LANGKAH MENGHARGAI WARGA TUA

LANGKAH MENGHARGAI WARGA EMAS/ WARGA TUA

CARA-CARA MENGHARGAI WARGA TUA

          Warga tua merujuk  kepada mereka yang berusia lebih daripada 60 tahun. Mereka merupapan ibu, bapa, datuk atau nenek, bapa saudara atau ibu saudara kita. Mereka merupakan golongan yang paling berjasa kepada keluarga, masyarakat dan negara. Warga tua telah melalui pelbagai rintangan dan dugaan untuk membesarkan anak-anak. Namun, pada hari ini, warga tua sering diabaikan ibarat peribahasa melukut di tepi gantang dan jasa mereka dilupakan oleh masyarakat. Ada sesetengah mereka pula dianggap seperti Quran buruk. Bagaimanapun, jasa dan sumbangan warga tua perlu dihargai oleh semua pihak.
             
             Ahli keluarga perlu menyayangi warga tua. Warga tua yang terdiri daripada ibu melahirkan zuriat dan berperanan mengurus rumah tangga serta mendidik anak-anak. Kaum bapa pula membanting tulang empat kerat mencari rezeki untuk keluarga. Pengorbanan ibu bapa perlu diingati serta dibalas dengan sebaik-baiknya. Sebagai anak, kita perlu menjaga ibu bapa kita ketika mereka tua serta uzur. Anak-anak tidak seharusnya menghantar mereka ke rumah orang tua-tua. Jika mereka berbuat demikian, mereka boleh dianggap sebagai kacang lupakan kulit.
            
             Di samping itu, guru menjadi suri teladan menasihati pelajar agar menghormati ibu bapa serta warga tua. Kita perlu memberikan perhatian dan sering mendampingi mereka. Selain itu, anak-anak perlu bertutur dengan sopan apabila berkomunikasi dengan ibu bapa mereka. Ketika bersalam, anak-anak hendaklah mencium tangan mereka. Hal ini demikian kerana kasih ibu membawa ke syurga dan kasih bapa sanggupkah berpisah  berkorban nyawa. Sewajarnya anak-anak tidak mengabaikan warga tua tersebut.
           
          Seterusnya, kerajaan dan pihak swasta turut berperanan menghargai warga tua. Kerajaan dan pihak swasta hendaklah berganding bahu seperti aur dengan tebing. Kedua-dua pihak tersebut hendaklah menyediakan pelbagai kemudahan untuk warga tua. Sebagai contoh,  rumah penjagaan warga tua yang mempunyai pelbagai kemudahan penjagaan hendaklah disediakan untuk mereka. Di samping itu, warga tua juga hendaklah diberikan rawatan percuma di hospital kerajaan. Sekiranya memerlukan bayaran, mereka hendaklah dikenakan kadar bayaran rendah di hospital kerajaan atau klinik swasta. Keperihatinan tersebut menunjukkan sikap mengambil berat tanpa mengira pangkat, demi keselesaan warga tua.
             
            Media massa tidak terkecuali dalam usaha menghargai warga tua. Media massa seperti surat khabar dan televisyen serta Internat boleh menyiarkan cerita-cerita yang berkaitan  dengan pengorbanan dan penderitaan hidup warga tua. Sebagai contoh,  rancangan yang disiarkan oleh TV3, iaitu ’Bersamamu”, menunjukkan terdapat pelbagai pihak yang sanggup menghulurkan bantuan khususnya kepada warga tua yang daif. Hal ini menyedarkan kita tentang pentingnya warga tua dalam hidup kita. Oleh itu, kita tidak boleh mengabaikan warga tua. 
                 

          Kesimpulannya, pelbagai pihak perlu berusaha untuk menghargai jasa  dan pengorbanan warga tua. Tanpa mereka siapalah kita. Jangan sesekali kita bersikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing kerana suatu hari nanti, kita juga pasti akan menjadi ’tua’ juga. Kita tidak boleh mengabaikan warga tua kerana merekalah yang telah berkorban melahirkan,  membesarkan, dan mendidik anak-anak hingga berjaya dalam hidup. 


Sunday, June 19, 2016

SAJAK TINGKATAN 5 : KUDUP PERANG.

SAJAK KUDUP PERANG

RANGKAP
SAJAK
MAKSUD
PERSOALAN
NILAI
PENGAJARAN
Rangkap 1
Sementara dia bergelar panglima
laskar perang; yang terus-menerus
membajakan kezaliman – sering
mengudupkan putik dendam
kita masih perlu berterima kasih
kepada jari-jemari takdir
kerana membenarkan sepasang mata
untuk berlari dengan tangan bergari
sempat juga menadah sejambak puisi
untuk sehari lagi; sambil bertanya;
siapakah pahlawan yang asli?
Penyajak mengatakan bahawa pemimpin perang yang sedang berkuasa akan sentiasa membuat kezaliman dan menyimpan perasaan dendam. Walau bagaimanapun, penyajak masih bersyukur kerana berpeluang menikmati kehidupan sambil mencari-cari pahlawan sejati.
Keadilan dan kesaksamaan selalu digugat oleh pendustaan
Keadilan
Kita haruslah bersikap adil dan saksama supaya tidak melakukan kezaliman
Rangkap 2
Memang kita tidak sempat menjenguk
ke luar jendela; sewaktu fajar menghembus
ringkik kuda, gemerincing
pedang pusaka
dan darah yang tiba-tiba membuak
di daerah angkara – perciknya
menumbuhkan kelopak rahsia
dalam keliru, tertanya-tanya kita
tangan mana yang memenggal
leher sang pendusta?
Penyajak sedar bahawa kita yang hidup pada zaman ini tidak berpeluang menjadi saksi pertelingkahan antara mereka. Perlbagai kekeliruan tentang kepahlawanan sebenar menyebabkan manusia tertanta-tanya tentang pemimpin sebenar yang benar-benar berkewibawaan mencipta sejarah.
Kekeliruan dalam menyanjung pemimpin sebenar
Rasional
Kita mestilah biajk memilih pemimpin yang benar-benar berwibawa dalam menerajui sesebuah organisasi
Rangkap 3
Andai namamu Tuah, kita masih
tidak mahu
menyanjungnya pendekar paling gagah
kerana takhta setia terbina
di istana wangsa
bukanlah penjamin kukuhnya
pasak saksama
sesekali turut direntakan daki pendusta
melekatlah selumbar sengsara
di tiang maruah kota
Penyajak tidak mahu menyanjung tuah sebagai pendekar paling gagah kerana kesetiaan tuah yang tidak berbelah bahagi terhadap istana. Oleh itu, Tuah tidak akan bersikap saksama walaupun adanya pendustaan sehingga sanggup membiarkan kesengsaraan berlaku di kota.
Usaha untuk mencari kebenaran tentang pahlawan dan pengkhianat
Keberanian
Kita hendaklah berani untuk mencari jawapan yang sahih agar tidak membuat keputusan yang salah
Rangkap 4
Andai namamu Jebat, kita masih tidak
menggelarnya sebagai pengkhianat
kerana kita masih menangisi
peta keadilan yang tersirat – nun, karam
di lautan kesumat
sedang warga memanggilnya keramat
Penyajak juga tidak menganggap Jebat sebagai sebagai pengkhianat kerana dia masih mengingati perjuangan Jebat mempertahankan keadilan. Namun, pengikut Jebat telah beranggapan  bahawa Jebatlah pemimpin yang sebenar.

keadilan

Rangkap 5
Perang pun melecurkan lidah muslihat
bercabang lalu bertemu bayu palsu;
bertiup dan memindahkan kebenaran pada tempatnya
mewarnakan keindahan pada hodohnya
menjungkitkan amarah pada damainya
teramat lara kita menjahit semula
perca-perca bahagia – seperti perawan
yang dibungkamkan cinta pertama.

Penyajak menginsafi bahawa peperangan penuh dengan muslihat dan berita palsu yang menghapuskan kebenaran dan membenarkan yang salah. Perang juga membangkitkan keganasan dalam kehidupan yang damai. Oleh itu, usaha untuk membangunkan negara amatlah sukar.
Sifat mementingkan diri dalam kalangan pemimpin

Peperangan membawa kesengsaraan hidup
Keinsafan
Kita mestilah insaf bahawa peperangan dan perbalahan tidak akan mendatangkan kebaikan

Kita hendaklah gigih berusaha untuk membina kebahagiaan supaya hidup lebih bermakna
Rangkap 6
Sehingga senja tiba,
kita masih bertengkar
tentang siapa
pahlawan sebenarnya.

Penyajak sedar bahawa sehingga kini masyarakat masih bertengkar untuk menentukan atau pemimpin  sebenar yang benar-benar memiliki ketokohan untuk menerajui sesebuah organisasi




Nada : Patriotik
Gaya Bahasa :
1.      Simile – seperti perawan
2.      Metafora – peta keadilan, putik dendam
3.      Hiperbola – daerah angkara, selumbar sengsara
4.      Sinkof – namamu

5.      Inversi – sesekali turut direntakan daki pendusta