Wednesday, April 6, 2016

NOVEL TIRANI: SINOPSIS BAB 20 - 24

SINOPSIS NOVEL TIRANI : BAB 20 HINGGA 24

BAB 20: Ke Pusat Rawatan Islam
Lais tiba-tiba sangat terperanjat dan amat gembira apabila terserempak dengan Waheeda di PUSRAWI. Kedua-dua mereka saling bertanya khabar dan Lais  menjelaskan kepada Waheeda bahawa kedatangannya menemani bapa saudaranya Pak Cik Aziz ke pusat rawatan tersebut. Lais juga menerangkan bahawa Pak Cik Aziz telah diserang strok dan kedatangan mereka ke situ bertujuan untuk mendapatkan  rawatan. Lais menceritakan bahawa selepas bekerja di Flamingo Resort dia telah membantu bapa saudaranya di chalet dan kebun strawberi di Cameron Highlands. Selepas diisyhtiharkan bankrap, Pak Cik Aziz ingin menjualkan perusahaannya. Selepas keluar dari bilik rawatan, Lais memperkenalkan pakciknya kepada Waheeda, Raidah dan Ghazi. Sebelum beredar Lais sempat meninggalkan alamat mereka di Cameron Hihglands dan nombor telefon kepada Ghazi. Selepas itu Waheeda pula dipanggil untuk bertemu dengan kaunselor yang bernama Dr.Qamariah. Waheeda telah menerangkan segala kesedihan yang dihadapinya, bidang kerjayanya, dan sikap suaminya Yazid seorang yang panas baran dan kuat cemburu sehingga melafazkan cerai talak satu kepadanya di hadapan keluarganya. Setelah mendapat nasihat daripada Dr. Qamariah, serta sokongan moral ibu dan abangnya Ghazi, Waheeda bersyukur dan berterima kasih serta semakin berfikiran positif, Waheeda sudah berubah dan tidak murung lagi. Waheeda ingin memulakan hidup baru. Ghazi yang sedang berada di apartment mereka di Kajang, tiba-tiba teringat akan chalet Pak Cik Aziz. Lalu dia menelefon Lais dan Ghazi diberitahu bahawa Pak Cik Aziz akan menjualkan chaletnya ‘Iwana-Iwani’ . Ghazi bersetuju dan akan berjumpa mereka pada keesokan harinya.

BAB 21:  Sinar Hujung Terowong
Raidah menyuarakan hasratnya untuk pulang ke Tajau Emas. Dia amat rindu akan cucunya Izzati. Di rumah Pak Cik Aziz pula perbincangan tentang pengambilalihan Chalet Iwana-Iwani sedang berjalan rancak. Pak Cik Aziz menerangkan punca dia diisytiharkan muflis kerana penyelewengan yang dilakukan oleh pekerja-pekerjanya. Ghazi dan Waheeda amat berminat untuk membantu Pak Cik Aziz untuk mengambi; alih  Chalet Iwana-Iwani di Cameron Highlands   setelah pergi melihat sendiri   esok. Urusan mengambil alih berlaku dan urusan dengan Bank Rakyat berjalan lancar.  Dalam pada itu Waheeda menyuarakan hasratnya untuk tinggal di Cameron Highlands kepada Ghazi. Dia ingin melupakan kenangan pahit antara dia dan Zahid di Tajau Emas dan Seri Gading. Dia mengharapkan Tajau Emas dapat diuruskan oleh Ghazi dan keluarga. Chalet Iwana-Iwani diberi nama baharu dan Waheeda mengharapkan anaknya Izzati akan menjejak langkahnya menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya.

BAB 22:  Bagaikan Air Gunung
Sambil dia berehat, Waheeda teringat akan laporan DNA yang disimpannya berpuluh tahun dahulu. Laporan itu membuktikan bahawa Izzati ialah anaknya dan Zahid. Dia membacanya. Tanpa disedarinya Izzati hadir menunjukkan gambar-gambar yang diambilnya semasa dia menerima Ijazah. Mereka terus berbincang tentang rupa paras masing-masing. Izzati hairan  melihatkan wajahnya tidak secantik ibunya. Hidungnya penyet tetapi hidung ibunya mancung. Namun Waheeda terus menguatkan keyakinan diri anaknya bahawa kecantikan rupa paras tidak semestinya membawa bahagia malah kecerdikan otak amat perlu. Waheeda terus mengharapkan Izzati terus bersyukur kerana Allah mengurniakannya otak yang pintar. Dengan kebijaksanaan dan kelulusan Izzati dalam bidang pelancongan, Chalet Aya-Sajinah (nama baru kepada Chalet Iwana-Iwani) telah berkembang maju dan dikunjungi oleh ramai pelancong dari dalam dan luar negeri. Rezeki yang diterima oleh Waheeda dan Izzati melimpah-ruah bagaikan curahan air dari gunung. Keterampilan Izzati mengendalikan Aya-Sajinah terbukti apabila pada suatu pagi  Lais melihat Izzati menghormati dua orang pelancong warga emas yang mula mendaftar di chalet itu.

BAB 23:  Sejuk-sejuk Tropika
Pada petang itu Zahid dan Aiman menghabiskan masa santai di Cafe Iwani. Sambil menghirup kopi panas dan  menikmati kesegaran udara di situ, Zahid menceritakan kisah hidupnya kepada Aiman. Bermula dengan kecantikan bekas isterinya, kecurigaannya akan kesetiaan, kelahiran anaknya yang tidak langsung serupa dengan wajahnya dan isterinya sehingga tindakannya menceraikan isterinya. Aiman baru saja mengetahui bahawa Zahid sudah keseorangan semula sekarang. Zahid juga mengatakan bahawa kecantikan itu hanyalah tirani. Zahid juga mengakui bahawa kesempurnaan fizikal juga hanya sementara, kerana pada bila-bila masa manusia boleh menjadi cacat sebagaimana dirinya yang menjadi tempang akibat kemalangan. Lais sentiasa berada di kaunter dan dapat mencuri dengar akan perbualan antara Zahid dan Aiman.
Lais cuba mengajak Izzati berada di kaunter pada waktu malam untuk melihat para pelancong yang menjadi tetamu chalet itu kerana pada waktu siang mereka menghabiskan masa dengan bersiar-siar di luar chalet. Lais juga mengajak Izzati berada di kaunter untuk mendengar perbualan antara dua orang tetamu mereka yang mendaftar pagi tadi. Perbualan mereka agak kuat dan mereka banyak bercerita tentang Kuching, Kuala Lumpur dan Los Angeles. Izzati bersetuju untuk menemani Lais selepas waktu isyak di kaunter. Pada malam itu, Zahid dan Aiman masuk ke kafe. Zahid sempat bertembung mata dengan Lais dan Izzati di kaunter. Wajah dan senyuman Izzati amat meninggalkan kesan di hati Zahid dan menyatakan kepada Aiman bahawa gadis di situ anggun. Perbualan antara Aiman dan Zahid berkisar tentang kekesalan Zahid yang menceraikan isterinya akibat curiga dan menuduh isterinya curang melahirkan anak yang tidak mewarisi wajah mereka berdua. Zahid juga menceritakan kepada Aiman tentang sikapnya yang tidak mahu membaca laporan data DNA tentang anak mereka. Zahid juga kesal kerana telah ditimpa kemalangan jalan raya di Los Angeles mengakibatkan kakinya tempang dan doktor mengesahkan bahawa dia tidak lagi berdaya mendapat zuriat. Izzati yang mendengar terkedu. Manakala Lais pula lebih daripada terkedu, malah dia dapat mengaitkan Zahid, seseorang pemuda yang kacak yang pernah dikenalinya di Flamingo Resort ketika dia bekerja di sana dahulu.  Ketika ingin membuat pembayaran di kaunter, Zahid sempat menenung wajah Izzati dengan satu tenungan yang agak berlainan dan menyatakan bahawa apabila dia memandang wajah Izzati dia teringat akan anaknya. Apabila ditanya, Zahid mengatakan anaknya bernama Izzati. Izzati terharu dan terkejut. Izzati pulang dengan wajah yang agak pelik dan berlainan menyebabkan Waheeda juga agak hairan melihat tingkah laku anak gadisnya itu.

BAB 24:  Karma Hati
Sekembalinya ke bilik pada malam itu, Zahid amat sukar melelapkan mata. Ingatannya terpaku kepada gadis di kafe tadi, yang benar-benar menggugat fikirannya. Senyuman, wajah, bulu matanya, lekuk pada dagu, dan lesung pipit,pada wajah gadis itu seolah-olah entiti dirinya dan gerak- geri gadis itu mengingatkannya kepada seseorang yang pernah disayanginya. Zahid amat menyesali dirinya yang enggan melihat laporan DNA dulu sekurang-kurangnya dia akan pasti anak itu anaknya atau bukan. Zahid memohon agar Allah memberi petunjuk kepadanya. Pada pagi esoknya Zahid muncul awal di Restoran Iwana. Harapannya akan dapat melihat wajah Izzati dengan lebih dekat lagi. Akhirnya pertemuan Zahid dengan Izzati mengungkapkan rasa kesal, sedih, dan reda kerana gadis yang dilihatnya dalam tiga hari itu ialah anaknya yang selama ini dirindunya. Zahid juga ingin menemui Waheeda untuk meluahkan perasaan rindu, kesal dan bersalah akibat tindakannya mengabaikan dan meninggalkan Waheeda dan Izzati selama 20 tahun. Pertemuan Zahid dan Waheeda pada petang itu dalam suasana marah, kesal, sedih dan sayu seolah-olah Waheeda tidak mahu memaafkannya. Namun Waheeda berasa amat bertuah kerana Allah telah mengurniakan seorang anak yang sangat mulia jiwanya dan meminta ibunya memaafkan ayahnya.



No comments:

Post a Comment