KARANGAN PERBINCANGAN:
Tajuk : Cara / Langkah mewujudkan perpaduan kaum
Contoh karangan 1:
Tajuk : Cara / Langkah mewujudkan perpaduan kaum
Contoh karangan 1:
Pada hemat saya, sudah tentu
rakyat Malaysia tidak asing lagi dengan tema sambutan Hari Kemerdekaan Negara
ke-51, iaitu “Perpaduan Teras Kejayaan”. Jika slogan tersebut dibaca dengan
teliti, slogan tersebut sebenarnya membawa mesej bahawa masyarakat yang hidup
bersatu-padu dapat menjana kejayaan dan kecemerlangan negara. Sebagai pembuka
bicara, kita sudah sedia maklum bahawa perpaduan dan keharmonian merupakan
elemen yang sangat penting dalam mengekalkan kesejahteraan dalam masyarakat
Malaysia yang berbilang kaum ini. Tanpa perpaduan, nescaya kemerdekaan dan
kedaulatan negara yang telah diperoleh sejak sekian lama akan hilang dalam
sekelip mata. Persoalannya, bagaimanakah kita dapat mengukuhkan perpaduan kaum
di negara ini?
Sebagai langkah pertama dalam
membentuk perpaduan, rakyat haruslah bergaul dan memupuk persefahaman antara
kaum. Dalam keadaan tersebut, ibu bapa perlulah menerapkan nilai-nilai
perpaduan dalam diri anak-anak sejak kecil lagi. Persis kata mutiara, “melentur
buluh biarlah dari rebungnya”. Mereka digalakkan berkomunikasi dengan jiran
yang berlainan bangsa dan membawa anak-anak mengunjungi rumah jiran semasa hari
lebaran. Dengan cara itu, ibu bapa dapat menjadi suri teladan kepada anak-anak
dan membolehkan mereka menghayati keistimewaan masyarakat Malaysia yang
mempunyai pelbagai jenis kaum dan etnik. Satu lagi cara yang dapat diambil oleh
ibu bapa ialah bergaul dengan anak-anak dalam pelbagai bahasa, misalnya Bahasa Melayu,
Bahasa Inggeris, dan bahasa-bahasa ibunda. Apabila golongan muda menguasai
pelbagai bahasa, mereka dapat berkomunikasi dengan rakan yang berlainan bangsa
dengan mudah. Pokoknya, nilai-nilai perpaduan dan permuafakatan hendaklah
didedahkan kepada generasi muda sejak awal lagi agar jiwa perpaduan dalam diri
mereka dapat berkembang dengan sempurna.
Seterusnya,
institusi-institusi pendidikan perlu bertanggungjawab menerapkan semangat
bersatu-padu dalam kalangan pelajar berbilang kaum. Antara langkah yang dapat
diambil adalah dengan memberikan kerja-kerja berkumpulan. Dalam konteks ini,
guru-guru hendaklah membahagikan pelajar secara berkumpulan dalam melaksanakan
projek-projek sekolah, seperti kajian Sains, persembahan maklumat, dan
sambutan-sambutan dalam sekolah. Guru-guru juga haruslah membahagikan kedudukan
pelajar dengan sempurna untuk menggalakkan pelajar berkomunikasi dengan
pelajar-pelajar yang berlainan kaum dan bukannya sesama kaum sahaja. Dalam
proses menjayakan inisiatif-inisiatif tersebut, guru tidak boleh mencetuskan
isu-isu sensitif semasa mangajar, misalnya dengan mengagung-agungkan warisan
budaya sendiri dan mengejek budaya kaum lain. Pendek kata, pelajar-pelajar dan
guru-guru perlulah bekerjasama “bagai aur dengan tebing” demi menzahirkan
semangat perpaduan di peringkat sekolah.
Di samping itu,
pelajar-pelajar perlulah belajar dan menghayati sejarah negara agar dapat
memahami erti perpaduan negara. Sebagai satu daripada langkah untuk mewujudkan
permuafakatan bangsa, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mewajibkan
pelajar-pelajar agar lulus dalam mata pelajaran Sejarah di peringkat Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM). Dasar tersebut akan berkuatkuasa mulai tahun 2013.
Langkah bijak tersebut diharapkan dapat menyedari anak-anak bangsa tentang kesan
akibat kurangnya perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat. Antaranya, dasar
pecah dan perintah yang dilaksanakan semasa penjajahan British telah
menyukarkan usaha menyatupadukan kaum menjelang kemerdekaan negara. Pada masa
yang sama, kita tentulah tidak mengharapkan peristiwa 13 Mei 1969 berulang dan
menggugat kestabilan tanah air. Oleh itu, pelajar perlu mengenali sejarah tanah
air agar dapat menyemai semangat perpaduan dalam diri individu. Ahli falsafah
terkemuka, iaitu George Santayana juga menyatakan bahawa “sesiapa yang
melupakan sejarah pasti akan mengulanginya”.
Pada masa yang sama, rakyat
Malaysia hendaklah menghindari sebarang tindakan yang dapat mencetuskan
provokasi kaum. Hal ini adalah kerana tindakan-tindakan yang dapat
membangkitkan isu perkauman dapat mengakibatkan pertelingkahan antara kaum,
seterusnya menjejaskan keamanan negara. Misalnya, Wee Meng Chee ataupun lebih
dikenali sebagai Namewee, iaitu seorang pelajar Malaysia yang melanjutkan
pelajaran di Taiwan, telah menimbulkan api kemarahan rakyat Malaysia dengan
karyanya yang berjudul “Negarakuku”. Lagu “rap” yang diubahsuai daripada lagu
Negaraku berbaur unsur-unsur yang menghina Perlembagaan Negara dan dasar-dasar
pentadbiran negara. Sekiranya banyak rakyat Malaysia yang bertindak sedemikian,
ke manakah akan perginya perpaduan negara dan maruah negara? Sesungguhnya,
walaupun kita diberikan kebebasan bersuara, kita janganlah mengambil kesempatan
tersebut untuk mencetuskan isu-isu sensitif yang dapat menghancurkan
keharmonian dan kedaulatan negara.
Selain itu, masyarakat
setempat juga memainkan peranan dalam mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini.
Mereka sewajarnya menganjurkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti
gotong-royong, Program Rukun Tetangga, dan kempen Bulan Kemerdekaan untuk
mengeratkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum. Melalui aktiviti-aktiviti
seperti gotong-royong dan Program Rukun Tetangga, selain daripada menjamin
kesejahteraan hidup warga setempat, rakyat juga berpeluang berkomunikasi dan
menghulurkan bantuan kepada jiran tetangga yang berlainan bangsa. Bak kata
pepatah, “serampang dua mata”. Smabutan-sambutan khas seperti Hari Keluarga dan
Kempen Bulan Kemerdekaan dalam pelbagai peringkat pula dapat membuka mata
rakyat jelata tentang adat resam dan budaya kaum lain. Program Hari Keluarga
misalnya, menawarkan rencaman jenis permainan dan aktiviti bersuka-ria yang
memerlukan perancangan teliti dan kerjasama yang erat antara ahli keluarga
ataupun jiran tetangga. Sesungguhnya, masyarakat setempat tidak ketinggalan dalam
memainkan peranan yang penting untuk melahirkan permuafakatan dalam kalangan
masyarakat negara.
Kerajaan pula harus memainkan
tugas penting untuk menggerakkan rakyat ke arah perpaduan yang jitu. Sebagai
jentera pentadbiran negara, kerjaan perlulah berusaha menerapkan gagasan Satu
Malaysia dalam kalangan rakyat. Namun, apakah gagasan Satu Malaysia sebenarnya?
Gagasan Satu Malaysia yang diwara-warakan oleh Perdana Menteri Malaysia, iaitu
Datuk Seri Najib Tun Razak ini bertujuan mewujudkan sebuah negara bangsa yang
merangkumi persefahaman dan perpaduan yang utuh dalam kalangan warga Malaysia.
Demi merealisasikan gagasan tersebut, kerajaan haruslah menganjurkan pelbagai
kempen untuk menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat. Antaranya
ialah pameran kebudayaan dan warisan masyarakat Malaysia. Langkah ini dapat
menyemai persefahaman dalam kalangan rakyat berbilang kaum kerana mereka dapat
mengenali dan menghayati budaya kaum lain dengan lebih lanjut. Kempen “Cintai
Bahasa Kita” perlulah digiatkan dengan lebih cergas lagi untuk memartabatkan
penggunaan bahasa kebangsaan, iaitu Bahasa Melayu. Hal ini adalah kerana bahasa
kebangsaan merupakan wahana penting yang dapat memudahkan komunikasi antara
rakyat. Kerajaan turut telah mengambil langkah menganjurkan Program Integrasi
Nasional dalam kalangan pelajar sekolah. Program tersebut sebenarnya bertujuan
untuk menerapkan semangat bersatu-padu dalam diri bakal peneraju negara.
Tuntasnya, usaha-usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan perlu dimanfaatkan oleh
rakyat dan bukannya “seperti kera mendapat bunga” agar perpaduan dan integrasi
nasional dapat diwujudkan.
Sebagai intihanya, “bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi”.
Usaha-usaha untuk mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini memerlukan sinergi
dan dedikasi yang tidak berbelah bahagi oleh oleh semua pihak, “seperti isi
dengan kuku”. Janganlah mengizinkan sejarah hitam akibat kurangnya persefahaman
dalam kalangan masyarakat seperti peristiwa 13 Mei 1969 berulang di negara ini.
Bak kata mutiara, “bersatu teguh, bercerai roboh”. Oleh itu, marilah kita
bergabung idea dan tenaga yang dihiaskan dengan sikap toleransi dan
persefahaman yang kukuh demi mewujudkan integrasi nasional. Mulakanlah
inisiatif-inisiatif tersebut ke arah Wawasan 2020 kerana “perjalanan seribu
batu bermula dengan langkah pertama”. \
Contoh karangan 2:
Terdapat peribahasa Melayu yang berbunyi ,"bulat air kerana pembentung , bulat manusia kerana muafakat ". Semangat perpaduan berperanan signifikan dalam usaha melahirkan masyarakat yang bermuafakat dan menyemarakkan semangat integrasi nasional dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum selaras inspirasi "Satu Malaysia". Walau bagaimanapun , alangkah kecewanya melihat semangat yang murni ini kian hari kian di telan dek kemodenan dan diabaikan oleh generasi muda mutahir ini . Untuk mengelakkan semangat perpaduan daripada terkubur begitu sahaja , institusi keluarga memainkan peranan vital untuk menyuntik semangat perpaduan yang luhur dalam sanubari generasi muda yang merupakan bakal pelapis kepimpinan tanah air.
Setelah meneliti dan mengkaji sehingga ke akar umbi , teladan ibu bapa atau lebih dikenali sebagai "role model" merupakan uslub primer yang efektif dan pragmatik untuk menyemai semangat solidariti dalam kalangan anak-anak. Dalam konteks ini , ibu bapa wajar menunjukkan suri teladan yang baik dengan menjalinkan perhubungan yang yang erat dan karib dengan jiran tetangga. Sempena sambutan perayaan , ibu bapa haruslah mengadakan majlis rumah terbuka . Secara tidak langsung , amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran tetangga setempat. Justeru, perpaduan akan bertambah utuh dan teguh .
Di samping itu , memang tidak dinafikan bahawa ibu bapa turut berperanan penting dalam mengajar anak-anak mereka menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara serta menghormati adat istiadat kaum-kaum lain dengan penuh berdedikasi. Pada realitinya , ibu bapa haruslah memastikan generasi muda berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Rukun Negara untuk melahirkan masyarakat yang bersatu-padu dan harmoni dalam pelbagai aspek. Bertitik tolak daripada itu , ibu bapa turut bertanggungjawab memastikan anak-anak mereka memahami dan menghormati adat istiadat , pantang larang serta kebudayaan pelbagai kaum di Malaysia demi mengelakkan konflik antara kaum .
Selain itu , semangat mahmudah yang jitu ini turut mampu diterap dalam jiwa generasi muda melalui dorongan yang diberi oleh anak-anak mereka untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang dapat mengukuhkan perpaduan antara kaum di sekolah seperti PLKN , RIMUP dan sebagainya. Maka , program-program khas yang diwujudkan untuk remaja ini amatlah efektif dalam menjana peluang untuk mewujudkan interaksi antara generasi muda. Strategi serampang dua mata ini bukan sahaja dapat menyemai semangat perpaduan dalam kalangan remaja malahan mampu menyemarakkan semangat patriotisme mereka , bak kata pepatah "sambil menyelam minum air".
Bukan itu sahaja , langkah bercerita tentang susur galur sejarah bangsa Malaysia kepada anak-anak juga merupakan satu minhaj yang ideal diambil oleh ibu bapa. Ibu bapa perlu menekankan bahawa kemerdekaan tanah air kita yang dicapai hari ini adalah berkat perjuangan semua kaum dan semua anak watan wajib menghargai titik peluh bekas pemimpin kita yang tidak ternilai ini. Sebagai analoginya , generasi muda yang umur baru setahun jagung, darah baru setampuk pinang tidak akan terlalu taksud dengan kenikmatan materialistik sehingga hidup dalam kepompong sendiri dan mengambil enteng tentang kepentingan mewujudkan perpaduan dalam tanah air sendiri .
Seterusnya, ibu bapa juga perlulah menggalakkan anak-anak mereka menonton filem , drama dan iklan yang bertemakan perpaduan antara kaum. Statistik yang sahih telah menunjukkan filem-filem ini memang jauh lebih efektif dan berkesan berbanding dengan bahan bertulis kerana persembahan media elektronik lebih menarik , kreatif dan inovatif. Maka , pelbagai iktibar dan pengajaran dapat diperoleh oleh generasi muda melalui persembahan-persembahan elektronik ini . Rentetan itu, wujudlah garis panduan yang berladaskan segala iktibar dan pengajaran yang diperolehi oleh generasi muda untuk mengecapi perpaduan dan keharmonian .
Seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu "bersatu kita teguh, bercerai kita roboh", semangat perpaduan yang menjadi panduan hidup anak watan merupakan inti kepada pembentukan masyarakat sakinat dan harmoni. Untuk merealisasikan matlamat ini , iaitu membentuk masyarakat sakinat dan mengecapi perpaduan antara kaum , segenap lapisan masyarakat sayugialah bersinergi bagai aur dengan tebing dan jangan sekali-kali bernafsi-nafsi bagai enau dalam belukar ,melepaskan pucuk masing-masing . sebagai intihanya , iltizam dan komitmen masyarakat amatlah vital dan berperanan signifikan .
No comments:
Post a Comment