Wednesday, April 20, 2016

PERSOALAN KEBIJAKSANAAN DALAM NOVEL TIRANI

PERSOALAN:

Persoalan kebijaksanaan berikhtiar dalam menyelesaikan masalah.

Isi 1/ contoh 1:  Waheeda bijak mengatasi masalah kemurungannya dengan mendapatkan rawatan dan khidmat pakar kaunseling  Dr. Qamariah di Pusat Rawatan Islam (PUSRAWI Kuala Lumpur)

Isi 2/ contoh 2:  Waheeda mendapat khidmat kawannya Nurjihan untuk menyerahkan sampel rambut suami, Izzati dan dirinya sendiri untuk membuat ujian DNA bagi membuktikan bahawa Izzati adalah anak kandung mereka.

Isi 3/ contoh 3: Pak Cik Aziz meminta Waheeda dan Ghazi mengambil alih perusahaan Chalet Iwana-Iwani sebelum pihak bank menyita segala aset perniagaan beliau.

KARANGAN : PUNCA, KESAN DAN LANGKAH MENGATASI JEREBU

KARANGAN BENTUK PERBINCANGAN:

Tajuk: Punca berlakunya jerebu, kesan jerebu dan langkah mengatasi jerebu.



          Dalam mendepani realiti baru dunia yang pantas dan berkembang ini, masyarakat pada hari ini sering berhadapan dengan masalah jerebu yang bagaikan bangkai gajah yang tidak dapat ditutup dengan nyiru lagi. Fenomena jerebu ini seolah-olah telah termaktub dalam takwim ramalan cuaca negara kerana telah acapkali melanda negara kita. Pada tahun 2005, kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan telah menyebabkan jerebu yang teruk di Semenanjung Malaysia terutamanya di sekitar Lembah Kelang. Di samping itu, Kuala Selangor dan Pelabuhan Kelang telah diiystiharkan darurat kerana Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kedua-dua kawasan itu telah melebihi 500, iaitu tahap darurat. Pada tahun 2006, masalah jerebu turut berlaku sekali lagi. Masalah jerebu yang banyak mengundang kontroversi ini, sebenarnya disebabkan oleh beberapa punca, persis kata orang tua-tua , “ jikalau tiada angin, masakan pokok bergoyang ”.

          Faktor dominan yang menyumbang kepada masalah jerebu ialah pembakaran hutan secara besar-besaran. Sebenarnya, keadaan cuaca di kawasan hutan hujan tropika memang terlalu panas sehingga boleh menyebabkan tumbuh-tumbuhan terbakar dengan sendirinya akibat suhu meningkat . Hal ini berlaku demikian kerana fenomena pemanasan global yang sedang berlaku di muka bumi ini. Di negara jiran kita, Indonesia pembakaran hutan sering berlaku kerana pihak Indonesia ingin membina infrastruktur yang baharu seperti bangunan, sekolah dan lebuh raya. Hal ini mengakibatkan pembakaran hutan secara berleluasa. Apabila angin bertiup dari Sumatera ke Malaysia, angin tersebut akan membawa jerebu bersama-sama ke negara kita. Natijahnya, udara kita semakin tecemar sementelahan pula Indeks Pencemaran Udara di negara kita melebihi paras berbahaya. Oleh itu, pembakaran hutan akan menyebabkan asap dan debu serta bahan yang telah separuh bakar berterbangan di atmosfera lalu berlakulah jerebu.

          Seterusnya, masyarakat yang melakukan pembakaran secara terbuka tanpa kawalan juga menyebabkan keadaan jerebu menjadi-jadi. Pembakaran terbuka ini dilakukan oleh pihak yang ingin menghapuskan sesuatu seperti sampah sarap. Sesetengah rakyat negara pula melakukan pembakaran terbuka di belakang kawasan rumah mereka sendiri. Mereka telalu malas untuk membawa sampah sarap mereka ke tempat pembuangan sampah atau pusat pengitaran sampah semula. Jadi, mereka telah mengambil jalan mudah dengan membakar sampah sarap mereka tanpa kisah jika asap daripada pembakaran terbuka itu yang sedikit demi sedikit membawa kepada masalah jerebu. Ada pula sesetengah petani yang membakar jerami padi untuk membersihkan kawasan sawahnya sebelum melakukan penanaman semula. Mereka tidak sedar bahawa asap dari pembakaran ini tidak akan berada di suatu tempat sahaja tetapi akan ditiup angin dan meliputi kawasan yang amat luas. Natijahnya, pembakaran terbuka ini melepaskan asap ke udara dan mengakibatkan jerebu.

          Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan juga telah mengakibatkan masalah jerebu di Malaysia. Di Malaysia, terdapat 9.3 juta buah kenderaan di jalan raya. Kenderaaan yang tidak dilengkapi pengubah pemangkin telah menyebabkan 16.2 tan karbon monoksida dan dua tan sodium dioksida dikeluarkan setiap hari. Kesesakan lalu lintas menyebabkan kenderaan tidak bergerak tetapi mengeluarkan asap pencemar. Gas-gas pencemar ini merupakan bahan terampai yang memenuhi udara. Gas-gas yang dibebaskan pula tidak dapat dibebaskan ke atmosfera dan sebaliknya terperangkap dalam lapisan bumi. Kejadian gas-gas yang terperangkap ini bagai selimut yang menutupi bumi. Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya akan menyebabkan jumlah asap yang dikeluarkan dari paip ekzos kenderaan meningkat dan berlegar-legar di atmosfera dan terperangkap di lapisan ozon serta tidak dapat keluar ke angkasa lepas. Hal ini menyebabkan udara menjadi tebal dan berlakulah jerebu di negara kita.

          Selain itu, masalah jerebu juga berpunca daripada kegiatan industri yang tidak terkawal. Hal ini berlaku demikian kerana sesebuah negara banyak bergantung pada bidang perindustrian yang mengaut keuntungan yang lumayan demi kemajuan negara. Malangnya, sikap pengusaha kilang yang bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing menyebabkan asap-asap dari kilang yang dilepaskan ke udara telah mencemarkan udara di negara kita. Mereka tidak sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk mendapatkan alat penapisan asap untuk menapis asap yang dikeluarkan dari kilang mereka sedangkan asap-asap yang dikeluarkan ini mengandungi sulfur dioksida dan nitrogen yang boleh mengakibatkan udara menjadi berjerebu. Situasi ini bertambah buruk apabila ada pihak pengusaha kilang yang memasang corong asap yang terlalu rendah sehingga menyalurkan asap beracun ke udara. Pelepasan asap kilang yang tidak terkawal dan tidak mengikut prosedur tertentu akan memburukkan keadaan jerebu di negara kita lagi.


          Antara kesan negatif yang disebabkan oleh jerebu ialah kualiti udara negara kita akan terjejas. Udara negara kita yang segar dan bersih akan dipenuhi oleh debu dan asap setiap kali jerebu melanda sehinggalah jarak penglihatan mendatar yang dahulunya sejauh 2 kilometer menjadi 50 meter. Sebagai contoh, pada bulan Ogos 2005, negara kita dilanda jerebu yang paling teruk dalam sejarah negara kita, di mana Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang mencecah lebih 500 buat kali pertama di Malaysia sehingga darurat diisytiharkan di kedua-dua kawasan tersebut, justeru segala aktiviti luar tidak dapat dijalankan dan kebanyakan sekolah, pelabuhan dan kilang ditutup buat sementara. Oleh itu, sudah terang lagi bersuluhbahawa jelaslah jerebu boleh mendatangkan keburukan terhadap negara kita.

         Jerebu juga boleh menyebabkan masalah kesihatan rakyat. Golongan yang lebih lemah seperti kanak-kanak dan warga tua mudah jatuh sakit. Hal ini berlaku kerana jerebu menyebabkan badan menjadi lemah dan imunisasi semakin rendah. Penyakit-penyakit selesema dan batuk akan mudah merebak. Misalnya, pesakit-pesakit asma dan penyakit respiratori mudah diserang penyakit pernafasan lain. Hal ini berlaku kerana pernafasan mereka menjadi tidak baik dan ditambah pula udara yang kurang bersih maka kesihatan mereka akan mudah terancam. Dalam jangka masa yang panjang, kita juga mungkin akan sakit kerongkong, kegatalan kulit, kemerahan mata dan sebagainya. Dengan itu, jelaslah bahawa jerebu membawa kesan negatif kepada kesihatan orang ramai.
        Selain kemerosotan taraf kesihatan rakyat Malaysia, sektor ekonomi negara turut terjejasakibat kerenah jerebu yang berlaku di Malaysia. Tahap penglihatan yang rendah menyebabkan aktiviti luar disekat dan industri perikanan dan pertanian terpaksa dihentikan demi menjamin keselamatan dan kesihatan pekerja-pekerja. Rakyat Malaysia yang terlibat dalam bidang perikanan dan pertanian terpaksa mencari alternatif yang lain untuk mencari pendapatan buat sementara waktu. Apabila masalah jerebu menjadi semakin meruncing, kesan negatif yang lebih serius akan timbul. Sumber pendapatan negara turut terancam akibat jerebu. Sumber pendapatan negeri-negeri yang berasaskan industri pelancongan seperti Sabah dan Sarawak akan merosot kerana industri pelancongan terjejas akibat jerebu. Para pelancong bukan sahaja dari dalam negeri malah dari negara asing tidak akan melawat ke Malaysia sekiranya jerebu masih berlaku di Malaysia kerana bimbang akan keselamatan dan kesihatan mereka semasa melancong ke Malaysia. Secara tidak langsung, ekonomi negara kita akan terjejas akibat jerebu.
          Jika dilihat dari perspektif lain, masalah jerebu dapat menjejaskan flora dan fauna di negara kita. Apabila jerebu berlaku, kandungan karbon dioksida berlipat ganda daripada kandungan yang biasa, sebaliknya kandungan oksigen akan kurang daripada yang biasa. Hal ini akan menyebabkan tanaman akan mengambil masa yang lebih lama untuk membesar. Kualiti dan hasil tanaman juga akan merosot. Hal ini disebabkan oleh proses fotosintesis yang terjejas akibat kandungan karbon dioksida yang berlebihan. Proses pernafasan yang melibatkan penyerapan gas oksigen dan pembebasan gas karbon dioksida ini menyebabkan tumbuhan hijau tumbuh dengan lebih lama. Misalnya, pokok balak akan mengambil masa yang lebih panjang untuk matang. Secara tegasnya, hasil dan kualiti pertanian boleh terjejas sehingga 30 peratus. Sumber petani akan turut terjejas sekali gus ekonomi negara yang bergantung pada pertanian turut terjejas. Bagi fauna pula, hidupan akuatik akan terjejas kerana kandungan oksigen yang terlarut dalam air pula akan berkurang dan hidupan akuatik seperti ikan-ikan tidak akan mendapat oksigen yang secukupnya. Jelaslah bahawa masalah jerebu akan menjejaskan flora dan fauna negara.

      Jerebu dapat diatasi dengan cara mengenakan tindakan undang-undang terhadap individu mahupun syarikat yang melakukan pembakaran awam terutamanya di kawasan ladang. Contohnya, pihak kerajaan Indonesia telah bertegas akan mengenakan tindakan undang-undang dan denda kepada syarikat dan orang perseorangan yang menjalankan pembersihan ladang menggunakan kaedah tebang dan bakar secara tidak sah.

Pembenihan awan dilakukan bagi memastikan hujan turun kerana hujan merupakan pembersih udara semula jadi yang terbaik. Menyedari hakikat itu, pihak Jabatan Alam Sekitar telah berkerjasam dengan Puncak Niaga Sdn. Bhd telah melakukan beberapa siri pembenihan awam khusunya di kawasan sekitar Lembah Klang dan negeri Selangor. Usaha ini dilakukan melalui dengan menyembur larutan garam iodid ke dalam gumpalan awam kumulusnimbus. Larutan garam iodid bertindak sebagai nukleus kondensasi menarik wap-wap air dalam awan tersebut bagi tujuan mempercepatkan pembentukkan hablur-hablur air.
Pengurusan alam sekitar boleh juga dilakukan melalui program pendidikan alamsekitar iaitu samada secara formal atau tidak formal. Program pendidikan ini juga bolehdijalankan oleh JAS dan lain-lain agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan ditujukankepada setiap peringkat masyarakat iaitu pentadbir, orang ramai dan juga kanak-kanaksekolah. Aktiviti ini dapat mempertingkatkan kesedaran orang ramai terhadap alam sekitar serta tanggungjawab bagi memperbaiki dan menjaganya. Aktiviti ini dianggap penting kerana ia merupakan satu strategi pencegahan dan pengurusan alam sekitar. Selain itu juga melalui pendidikan ini kita dapat memperluaskan tahap kesedaran orang ramai kerana pengetahuan terhadap isu alam sekitar dari segi pemuliharaan alam sekitar atau terhadap implikasi sosial dan ekonomi dalam mempengaruhi keputusan mengenai soal alam sekitar adalah didapati kurang maju jika dibandingkan dengan rakyat di negara lebih maju

Selain daripada tindakan yang dilakukan oleh kerajaan dan pihak berkuasa, orang awam haruslah bertangungjawab dan sama-sama menjaga alam sekitar ini. Antara tindakan  yang boleh dibuat ialah elakan mengunakn kenderan persendirian sebaliknya gunakan kenderaan awam atau berkongsi kereta dan pada masa yang sama juga pemilik kenderaan tersebut hendaklah memastikan kenderaan mereka tidak melepaskan asap hitam dengan mengambil langkah-langkah yang ideal contohnya hantar kereta ke bengkel untuk pemeriksaan dan penyelenggaraan terutama bagi karburetor dan pam minyak supaya berada dalam keadaan baik. Orang awam juga boleh membuat aduan kepada Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Pihak Berkuasa Tempatan yang terdekat jika terdapat pembakaran sisa pepejal dan laporan juga boleh dibuat kepada JAS mengenai sebarang pembakaran terbuka yang dilakukan oleh industri, tred dan ladang-ladang.


KARANGAN PERBINCANGAN : LANGKAH MEWUJUDKAN PERPADUAN DALAM KALANGAN MASYARAKAT.

KARANGAN PERBINCANGAN:

Tajuk : Cara / Langkah mewujudkan perpaduan kaum

Contoh karangan 1:

Pada hemat saya, sudah tentu rakyat Malaysia tidak asing lagi dengan tema sambutan Hari Kemerdekaan Negara ke-51, iaitu “Perpaduan Teras Kejayaan”. Jika slogan tersebut dibaca dengan teliti, slogan tersebut sebenarnya membawa mesej bahawa masyarakat yang hidup bersatu-padu dapat menjana kejayaan dan kecemerlangan negara. Sebagai pembuka bicara, kita sudah sedia maklum bahawa perpaduan dan keharmonian merupakan elemen yang sangat penting dalam mengekalkan kesejahteraan dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum ini. Tanpa perpaduan, nescaya kemerdekaan dan kedaulatan negara yang telah diperoleh sejak sekian lama akan hilang dalam sekelip mata. Persoalannya, bagaimanakah kita dapat mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini?
Sebagai langkah pertama dalam membentuk perpaduan, rakyat haruslah bergaul dan memupuk persefahaman antara kaum. Dalam keadaan tersebut, ibu bapa perlulah menerapkan nilai-nilai perpaduan dalam diri anak-anak sejak kecil lagi. Persis kata mutiara, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Mereka digalakkan berkomunikasi dengan jiran yang berlainan bangsa dan membawa anak-anak mengunjungi rumah jiran semasa hari lebaran. Dengan cara itu, ibu bapa dapat menjadi suri teladan kepada anak-anak dan membolehkan mereka menghayati keistimewaan masyarakat Malaysia yang mempunyai pelbagai jenis kaum dan etnik. Satu lagi cara yang dapat diambil oleh ibu bapa ialah bergaul dengan anak-anak dalam pelbagai bahasa, misalnya Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, dan bahasa-bahasa ibunda. Apabila golongan muda menguasai pelbagai bahasa, mereka dapat berkomunikasi dengan rakan yang berlainan bangsa dengan mudah. Pokoknya, nilai-nilai perpaduan dan permuafakatan hendaklah didedahkan kepada generasi muda sejak awal lagi agar jiwa perpaduan dalam diri mereka dapat berkembang dengan sempurna.
Seterusnya, institusi-institusi pendidikan perlu bertanggungjawab menerapkan semangat bersatu-padu dalam kalangan pelajar berbilang kaum. Antara langkah yang dapat diambil adalah dengan memberikan kerja-kerja berkumpulan. Dalam konteks ini, guru-guru hendaklah membahagikan pelajar secara berkumpulan dalam melaksanakan projek-projek sekolah, seperti kajian Sains, persembahan maklumat, dan sambutan-sambutan dalam sekolah. Guru-guru juga haruslah membahagikan kedudukan pelajar dengan sempurna untuk menggalakkan pelajar berkomunikasi dengan pelajar-pelajar yang berlainan kaum dan bukannya sesama kaum sahaja. Dalam proses menjayakan inisiatif-inisiatif tersebut, guru tidak boleh mencetuskan isu-isu sensitif semasa mangajar, misalnya dengan mengagung-agungkan warisan budaya sendiri dan mengejek budaya kaum lain. Pendek kata, pelajar-pelajar dan guru-guru perlulah bekerjasama “bagai aur dengan tebing” demi menzahirkan semangat perpaduan di peringkat sekolah.
Di samping itu, pelajar-pelajar perlulah belajar dan menghayati sejarah negara agar dapat memahami erti perpaduan negara. Sebagai satu daripada langkah untuk mewujudkan permuafakatan bangsa, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mewajibkan pelajar-pelajar agar lulus dalam mata pelajaran Sejarah di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Dasar tersebut akan berkuatkuasa mulai tahun 2013. Langkah bijak tersebut diharapkan dapat menyedari anak-anak bangsa tentang kesan akibat kurangnya perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat. Antaranya, dasar pecah dan perintah yang dilaksanakan semasa penjajahan British telah menyukarkan usaha menyatupadukan kaum menjelang kemerdekaan negara. Pada masa yang sama, kita tentulah tidak mengharapkan peristiwa 13 Mei 1969 berulang dan menggugat kestabilan tanah air. Oleh itu, pelajar perlu mengenali sejarah tanah air agar dapat menyemai semangat perpaduan dalam diri individu. Ahli falsafah terkemuka, iaitu George Santayana juga menyatakan bahawa “sesiapa yang melupakan sejarah pasti akan mengulanginya”.
Pada masa yang sama, rakyat Malaysia hendaklah menghindari sebarang tindakan yang dapat mencetuskan provokasi kaum. Hal ini adalah kerana tindakan-tindakan yang dapat membangkitkan isu perkauman dapat mengakibatkan pertelingkahan antara kaum, seterusnya menjejaskan keamanan negara. Misalnya, Wee Meng Chee ataupun lebih dikenali sebagai Namewee, iaitu seorang pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di Taiwan, telah menimbulkan api kemarahan rakyat Malaysia dengan karyanya yang berjudul “Negarakuku”. Lagu “rap” yang diubahsuai daripada lagu Negaraku berbaur unsur-unsur yang menghina Perlembagaan Negara dan dasar-dasar pentadbiran negara. Sekiranya banyak rakyat Malaysia yang bertindak sedemikian, ke manakah akan perginya perpaduan negara dan maruah negara? Sesungguhnya, walaupun kita diberikan kebebasan bersuara, kita janganlah mengambil kesempatan tersebut untuk mencetuskan isu-isu sensitif yang dapat menghancurkan keharmonian dan kedaulatan negara.
Selain itu, masyarakat setempat juga memainkan peranan dalam mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini. Mereka sewajarnya menganjurkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, Program Rukun Tetangga, dan kempen Bulan Kemerdekaan untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum. Melalui aktiviti-aktiviti seperti gotong-royong dan Program Rukun Tetangga, selain daripada menjamin kesejahteraan hidup warga setempat, rakyat juga berpeluang berkomunikasi dan menghulurkan bantuan kepada jiran tetangga yang berlainan bangsa. Bak kata pepatah, “serampang dua mata”. Smabutan-sambutan khas seperti Hari Keluarga dan Kempen Bulan Kemerdekaan dalam pelbagai peringkat pula dapat membuka mata rakyat jelata tentang adat resam dan budaya kaum lain. Program Hari Keluarga misalnya, menawarkan rencaman jenis permainan dan aktiviti bersuka-ria yang memerlukan perancangan teliti dan kerjasama yang erat antara ahli keluarga ataupun jiran tetangga. Sesungguhnya, masyarakat setempat tidak ketinggalan dalam memainkan peranan yang penting untuk melahirkan permuafakatan dalam kalangan masyarakat negara.
Kerajaan pula harus memainkan tugas penting untuk menggerakkan rakyat ke arah perpaduan yang jitu. Sebagai jentera pentadbiran negara, kerjaan perlulah berusaha menerapkan gagasan Satu Malaysia dalam kalangan rakyat. Namun, apakah gagasan Satu Malaysia sebenarnya? Gagasan Satu Malaysia yang diwara-warakan oleh Perdana Menteri Malaysia, iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak ini bertujuan mewujudkan sebuah negara bangsa yang merangkumi persefahaman dan perpaduan yang utuh dalam kalangan warga Malaysia. Demi merealisasikan gagasan tersebut, kerajaan haruslah menganjurkan pelbagai kempen untuk menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat. Antaranya ialah pameran kebudayaan dan warisan masyarakat Malaysia. Langkah ini dapat menyemai persefahaman dalam kalangan rakyat berbilang kaum kerana mereka dapat mengenali dan menghayati budaya kaum lain dengan lebih lanjut. Kempen “Cintai Bahasa Kita” perlulah digiatkan dengan lebih cergas lagi untuk memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan, iaitu Bahasa Melayu. Hal ini adalah kerana bahasa kebangsaan merupakan wahana penting yang dapat memudahkan komunikasi antara rakyat. Kerajaan turut telah mengambil langkah menganjurkan Program Integrasi Nasional dalam kalangan pelajar sekolah. Program tersebut sebenarnya bertujuan untuk menerapkan semangat bersatu-padu dalam diri bakal peneraju negara. Tuntasnya, usaha-usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan perlu dimanfaatkan oleh rakyat dan bukannya “seperti kera mendapat bunga” agar perpaduan dan integrasi nasional dapat diwujudkan.
Sebagai intihanya, “bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi”. Usaha-usaha untuk mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini memerlukan sinergi dan dedikasi yang tidak berbelah bahagi oleh oleh semua pihak, “seperti isi dengan kuku”. Janganlah mengizinkan sejarah hitam akibat kurangnya persefahaman dalam kalangan masyarakat seperti peristiwa 13 Mei 1969 berulang di negara ini. Bak kata mutiara, “bersatu teguh, bercerai roboh”. Oleh itu, marilah kita bergabung idea dan tenaga yang dihiaskan dengan sikap toleransi dan persefahaman yang kukuh demi mewujudkan integrasi nasional. Mulakanlah inisiatif-inisiatif tersebut ke arah Wawasan 2020 kerana “perjalanan seribu batu bermula dengan langkah pertama”. \

Contoh karangan 2:


          Terdapat peribahasa Melayu yang berbunyi ,"bulat air kerana pembentung , bulat manusia kerana muafakat ". Semangat perpaduan berperanan signifikan dalam usaha melahirkan masyarakat yang bermuafakat dan menyemarakkan semangat integrasi nasional dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum selaras inspirasi "Satu Malaysia". Walau bagaimanapun , alangkah kecewanya melihat semangat yang murni ini kian hari kian di telan dek kemodenan dan diabaikan oleh generasi muda mutahir ini . Untuk mengelakkan semangat perpaduan daripada terkubur begitu sahaja , institusi keluarga memainkan peranan vital untuk menyuntik semangat perpaduan yang luhur dalam sanubari generasi muda yang merupakan bakal pelapis kepimpinan tanah air.

          Setelah meneliti dan mengkaji sehingga ke akar umbi , teladan ibu bapa atau lebih dikenali sebagai "role model" merupakan uslub primer yang efektif dan pragmatik untuk menyemai semangat solidariti dalam kalangan anak-anak. Dalam konteks ini , ibu bapa wajar menunjukkan suri teladan yang baik dengan menjalinkan perhubungan yang yang erat dan karib dengan jiran tetangga. Sempena sambutan perayaan , ibu bapa haruslah mengadakan majlis rumah terbuka . Secara tidak langsung , amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran tetangga setempat. Justeru, perpaduan akan bertambah utuh dan teguh .

          Di samping itu , memang tidak dinafikan bahawa ibu bapa turut berperanan penting dalam mengajar anak-anak mereka menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara serta menghormati adat istiadat kaum-kaum lain dengan penuh berdedikasi. Pada realitinya , ibu bapa haruslah memastikan generasi muda berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Rukun Negara untuk melahirkan masyarakat yang bersatu-padu dan harmoni dalam pelbagai aspek. Bertitik tolak daripada itu , ibu bapa turut bertanggungjawab memastikan anak-anak mereka memahami dan menghormati adat istiadat , pantang larang serta kebudayaan pelbagai kaum di Malaysia demi mengelakkan konflik antara kaum .

          Selain itu , semangat mahmudah yang jitu ini turut mampu diterap dalam jiwa generasi muda melalui dorongan yang diberi oleh anak-anak mereka untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang dapat mengukuhkan perpaduan antara kaum di sekolah seperti PLKN , RIMUP dan sebagainya. Maka , program-program khas yang diwujudkan untuk remaja ini amatlah efektif dalam menjana peluang untuk mewujudkan interaksi antara generasi muda. Strategi serampang dua mata ini bukan sahaja dapat menyemai semangat perpaduan dalam kalangan remaja malahan mampu menyemarakkan semangat patriotisme mereka , bak kata pepatah "sambil menyelam minum air".

          Bukan itu sahaja , langkah bercerita tentang susur galur sejarah bangsa Malaysia kepada anak-anak juga merupakan satu minhaj yang ideal diambil oleh ibu bapa. Ibu bapa perlu menekankan bahawa kemerdekaan tanah air kita yang dicapai hari ini adalah berkat perjuangan semua kaum dan semua anak watan wajib menghargai titik peluh bekas pemimpin kita yang tidak ternilai ini. Sebagai analoginya , generasi muda yang umur baru setahun jagung, darah baru setampuk pinang tidak akan terlalu taksud dengan kenikmatan materialistik sehingga hidup dalam kepompong sendiri dan mengambil enteng tentang kepentingan mewujudkan perpaduan dalam tanah air sendiri .

          Seterusnya, ibu bapa juga perlulah menggalakkan anak-anak mereka menonton filem , drama dan iklan yang bertemakan perpaduan antara kaum. Statistik yang sahih telah menunjukkan filem-filem ini memang jauh lebih efektif dan berkesan berbanding dengan bahan bertulis kerana persembahan media elektronik lebih menarik , kreatif dan inovatif. Maka , pelbagai iktibar dan pengajaran dapat diperoleh oleh generasi muda melalui persembahan-persembahan elektronik ini . Rentetan itu, wujudlah garis panduan yang berladaskan segala iktibar dan pengajaran yang diperolehi oleh generasi muda untuk mengecapi perpaduan dan keharmonian .

          Seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu "bersatu kita teguh, bercerai kita roboh", semangat perpaduan yang menjadi panduan hidup anak watan merupakan inti kepada pembentukan masyarakat sakinat dan harmoni. Untuk merealisasikan matlamat ini , iaitu membentuk masyarakat sakinat dan mengecapi perpaduan antara kaum , segenap lapisan masyarakat sayugialah bersinergi bagai aur dengan tebing dan jangan sekali-kali bernafsi-nafsi bagai enau dalam belukar ,melepaskan pucuk masing-masing . sebagai intihanya , iltizam dan komitmen masyarakat amatlah vital dan berperanan signifikan .



KARANGAN : PERANAN IBU BAPA MENGATASI MASALAH GEJALA SOSIAL/ KERUNTUHAN AKHLAK

KARANGAN BENTUK PERBINCANGAN:

Peranan ibu bapa dalam menangani masalah keruntuhan moral dan gejala sosial dalam kalangan remaja di negara kita.

CONTOH KARANGAN 1:


          Dalam meniti arus kemodenan ini, pelbagai penyakit sosial yang mampu meranapkan peradaban bangsa dan negara melanda golongan remaja. Akhir-akhir ini, berita mengenai golongan remaja terjebak dalam gejala sosial kerap terpampang di dada akhbar. Masalah sosial adalah suatu ketidaksesuaian antara unsur-unsur kebudayaan atau masyarakat, yang membahayakan kehidupan kelompok sosial. Daripada kes bohsia, hamil luar nikah yang diikuti dengan pembuangan zuriat di dalam tong sampah, penderaan, gengsterisme dan vandalisme, rogol, sumbang mahram, ketagihan dadah, hinggalah kepada mat rempit. Keutuhan institusi keluarga begitu penting dalam usaha menangani gejala sosial sehingga institusi keluarga diibaratkan seperti batu bata dalam sesebuah bangunan. Malah, institusi keluarga begitu penting dalam usaha menangani gejala sosial sehingga kempen Rumahku Syurgaku yang menekankan kepentingan rumah diibaratkan sebagai syurga untuk memastikan keutuhan institusi keluarga diadakan secara besar-besaran. Oleh itu, ibu bapa perlulah menyahut cabaran bagi menghalang golongan remaja daripada terjebak dalam gejala sosial.

          Sebenarnya, golongan ibu bapa wajarlah mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak mereka dan mengasuh anak-anak bagai menatang minyak yang penuh. Ibu bapa perlu menganggap anak-anak sebagai kurniaan Tuhan yang tidak ternilai dan mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang dan kesabaran. Sikap sesetengah ibu bapa yang hanya sibuk mengejar harta kekayaan perlulah dikikis sama sekali. Mereka tidak sedar bahawa nilai kebendaan dan materialistik yang ada pada diri mereka akan menyebabkan mereka terlalu sibuk dengan kerja mereka sehingga mengabaikan anak-anak mereka. Contohnya, pada hujung minggu, ibu bapa perlulah meluangkan masa mereka untuk melakukan aktiviti-aktiviti riadah bersama-sama anak-anak mereka. Ibu bapa bolehlah membawa remaja makan angin di destinasi-destinasi yang menarik di negara kita. Hadis ada menyatakan bahawa anak-anak diibaratkan seperti kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya. Sememangnya, ibu bapa perlu mampu mengimbangi kepentingan keluarga dan kerjaya mereka kerana anak-anak mereka amat memerlukan kasih sayang seorang ayah dan ibu.

          Peranan utama ibu bapa untuk mengatasi masalah remaja ialah memberi didikan agama kepada anak-anak. Agama merupakan senjata ampuh yang mampu membantu mereka menangkis segala anasir yang bersifat negatif. Oleh hal yang demikian, ibu bapa haruslah memberikan didikan agama kepada anak-anak sejak dari kecil ibarat “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Kendatipun, ibu bapa yang memberi anak-anak dengan cahaya keimanan yang cukup akan melahirkan adiwangsa yang soleh dan solehah. Di samping itu, ada juga keluarga yang makmur dari segi ekonomi tetapi muflis nilai kerohanian. Menurut pakar motivasi, Dato’ Dr. Fadzillah Kamsah mengatakan bahawa ibu bapa haruslah mencurahkan ilmu agama kepada putera puteri mereka kerana itu merupakan benteng untuk mereka menempuh arus modenisasi kini. Tuntasnya, ibu bapa hendaklah membuka fikiran seluas padang pasir dan agar hati seputih salju bahawa agama merupakan senjata ampuh untuk mengelakkan modal insan terjerumus ke dalam kancah masalah sosial pada masa kini.

          Bukan itu sahaja, pihak ibu bapa perlulah bertanggungjawab terhadap kebajikan anak-anak mereka dengan mengikuti perkembangan anak-anak mereka di sekolah. Dari semasa kesemasa, ibu bapa perlu mengambil inisiatif untuk menghubungi pihak sekolah untuk mengetahui masalah-masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka. Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah menghadirkan diri dalam sebarang pertemuan antara ibu bapa dan guru. Dengan ini, pihak sekolah, guru dan ibu bapa akan dapat bermuafakat dan bekerjasama untuk membantu remaja yang bermasalah dengan mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Ibu bapa perlu memastikan bahawa nasihat yang diberikan oleh mereka kepada anak-anak mereka tidaklah Bagai me ncurahkan air ke daun keladi. Setiap penyakit pasti ada penawarnya. Masalah remaja perlu dikesan sebelum terlambat kerana mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Ibubapa memainkan peranan untuk menjaga kepentingan anak-anak mereka dengan meletakkan kepentingan anak-anak mereka melebihi harta benda dan wang ringgit.

          Bukan itu sahaja, ibu bapa haruslah menjadi teladan kepada anak-anak mereka . Ibu bapa sememangnya perlu memastikan segala tingkah laku dan pertuturan mereka kerana segala perlakuan mereka akan diperhatikan oleh anak-anak mereka. Malah, segala tingkah laku ibu bapa akan ditiru oleh anak-anak mereka. Contohnya, ibu bapa yang mempunyai tabiat buruk seperti merokok perlulah bertaubat dan berhenti merokok kerana anak-anak mereka berkemungkinan besar akan terpengaruh dan seterusnya merokok. Ibu bapa perlulah mengatasi apa-apa kelemahan yang ada pada diri mereka agar perbuatan mereka tidak akan menyebabkan anak-anak mereka terdedah kepada amalan yang kurang sihat. Ibu bapa tidak harus bersikap seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul. Dengan ini, golongan remaja tidak akan terpengaruh dengan tabiat buruk ibu bapa mereka dan seterusnya tidak akan melakukan gejala sosial yang mampu menghancurkan masa depan mereka.

          Intihanya, ibu bapa perlu memantapkan kemahiran keibubapaan mereka lagi dalam mendidik anak-anak. Contohilah ketokohan Luqmanul Hakim yang cukup hebat mendidik anak-anaknya berorientasikan Al-quran dan al-Hadis. Kita tidak mahu remaja-remaja yang bobrok dan kaya dengan pidana dihasilkan. Sebaliknya, kita inginkan barisan remaja yang berkaliber, cukup syumul dan utopia hasil didikan kedua-dua ibu bapa mereka. Marilah kita berubah, “sebelum padi di tangan menjadi lalang” dan “ayam ditambat disambar helang”, ayuhlah ibu bapa, berkorbanlah demi masa depan anak-anak tercinta. 




CONTOH KARANGAN 2:

Remaja,
Ingatlah masa depanmu,
Kenanglah,
Jasa ibu dan ayahmu,


Susah payah mereka membesarkan kita.
         
           Lirik lagu di atas cukup jelas memanifestasikan satu mesej kepada para remaja supaya sentiasa menghargai ibu dan bapa mereka. Umum mengetahui, para remaja marcapada ini terlalu lalai dan leka dibuai arus modenisasi. Penglibatan mereka dalam delinkuen social sudah menjadi buah mulut dan mauduk utama perbualan orang mutakhir ini. Jadi, ibu bapa dilihat sebagai satu komponen paling utama malah turut dianggap formula yang cukup mujarab bagi mengatasi masalah dalam kalangan remaja.
          
          (Isi 1) Pertama, ibu bapa perlu menghulurkan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada anak-anak. Hal ini dikatakan demikian kerana remaja merupakan golongan yang sangat menginginkan perhatian. Naluri mereka yang mudah memberontak sudah pasti dapat ditenangkan menerusi perasaan cinta ibu bapa terhadap anak-anak. Api kemarahan dan benteng keegoan yang menebal di dada mereka pasti mudah diruntuhkan dengan kasih sayang ibarat menatang minyak yang penuh kepada anak-anak. Andai kata remaja ketandusan kasih sayang, sudah pasti mereka akan mecari haluan lain untuk melepaskan diri dari kepompong ketidakselesaan. Natijahnya, mereka akan mula berjinak-jinak dengan najis dadah dan tidak mustahil akan terjerumus dalam kancah kemaksiatan. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, kadar remaja lari dari rumah kian meningkat sebanyak 5.7 peratus dari tahun 2007 ke 2008. Jadi, sebelum nasi sudah menjadi bubur, ibu bapa perlu mengutamakan anak-anak mereka berbanding hal-hal lain.
          
          (Isi 2) Selain itu, ibu bapa juga perlu meluangkan masa bersama anak-anak. Hal ini cukup bertepatan dengan langkah Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat yang telah mengisytiharkan cuti pada hari Sabtu dan Ahad kepada semua pegawai kerajaan. Perkara ini cukup membuktikan keprihatinan kerajaan Malaysia dalam menyediakan ruang dan peluang kepada ibu bapa untuk bersama anak-anak. Percayalah, anak-anak akan berasa lebih dihargai apabila ibu bapa menghabiskan masa berkualiti bersama mereka. Tamsilannya, ibu bapa boleh membawa anak-anak melancong, beriadah bersama-sama malahan menjalankan aktiviti kerohanian secara berjemaah. Melihat kepada senario masyarakat kontemporari, ibu bapa lebih cenderung untuk mengejar materialistik dan menjadikan pejabat sebagai rumah kedua mereka. Sikap ibarat enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing ini perlu dikikis segera bagi memastikan para remaja tidak terlibat dalam gejala sosial. Maka, jelaslah anak-anak remaja perlu dijadikan prioriti utama dalam usaha membendung kemelut ini.
              
          (Isi 3) Di samping itu, ibu bapa perlu menyediakan pendidikan yang secukupnya kepada anak-anak.Pendidikan ini merangkumi pendidikan formal mahupun pendidikan tidak formal. Tindakan kerajaan Malaysia mewajibkan keseluruhan kanak-kanak di negara ini mendapat pendidikan di sekolah amatlah wajar dan perlu disokong. Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mereka memperoleh pendidikan sewajarnya, selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sementelahan itu, ibu bapa juga perlu menerapkan pendidikan berbentuk tidak formal kepada anak-anak. Pengajaran ilmu-ilmu agama dan nilai-nilai murni selaras dengan norma masyarakat pada hari ini amat penting bagi memastikan kerohanian yang mantap dalam diri anak-anak. Ingatlah, “segala-galanya bermula di rumah”. Begitulah ungkapan kalimah tokoh filsuf terkenal, Franklin D. Roosevelt. Maka, ibu bapalah yang bertindak sebagai agen pencorak utama karakter anak-anak agar mereka tidak mencetuskan cangkaliwang pada hari muka. Justeru, penerapan pendidikan yang sempurna pasti dapat menangani masalah ini.

          (Isi 4) Seterusnya, ibu bapa perlu mengawasi perilaku anak-anak. Peribahasa Melayu ada menyebut,” kalau tiada angin masakan pokok akan bergoyang”. Setiap perbuatan yang dilakukan oleh anak-anak pasti ada penyebabnya. Sehubungan dengan itu, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk sentiasa mengikuti perkembangan diri anak-anak remaja mereka. Pergaulan bebas anatara lelaki dan perempuan sudah sinonim dengan masyarakat. Seluar ketat, baju singkat hingga menampakkan pusat ibarat suatu adat. Maka, di sinilah ibu bapa perlu memainkan peranannya iaitu meninjau perubahan sikap anak-anak mereka. Serbuan pihak polis di kota metropolitan Kuala Lumpur iaitu di kelab-kelab malam di sana mendapati hampir 15 peratus anak-anak remaja di bawah umur ditahan positif dadah. Perkara ini jelas menunjukkan andai ibu bapa membiarkan anak-anak mereka tanpa tempat bergantung, mereka akan mudah terlibat dalam kebejatan sosial pada masa ini. Maka, ibu bapa perlu bertindak proaktif dan pragmatik dalam usaha membasmi gejala sosial dalam kalangan anak-anak remaja.

        (Isi 5)  Akhir sekali, ibu bapa perlu melengkapkan keperluan asas anak-anak. Sekali air bah, sekali pantai berubah. Begitu juga dengan perkembangan dunia yang kian ekstrem menjengah kita. Oleh itu, dalam kita mengharung arus modenisasi, sudah tentu anak remaja tidak mahu dihimpit dengan ketidakselesaan dan pemikiran yang jumud. Maka, sebagai ibu bapa, mereka perlu menyediakan keperluan asas anak-anak bagi menjamin keselesaan. Tempat tinggal yang kondusif, pakaian yang bersesuaian serta makanan dan minuman yang berkhasiat perlu disediakan. Hal ini amat penting bagi memastikan anak-anak berasa seronok berada di rumah lantas tidak terlibat dalam gejala sosial. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh sekumpulan mahasiswa Fakulti Sains Kemasyarakatan, Universiti Malaya, anak-anak remaja daripada golongan miskin lebih cenderung untuk terlibat dalam penagihan najis dadah. Hal ini pastinya akan dapat dibendung andai segala keperluan asas remaja dilengkapkan walaupun ibu bapa tidak melambakkan kemewahan kepada mereka.
        
          (kesimpulan) Intihanya, ibu bapa perlu memantapkan kemahiran keibubapaan mereka lagi dalam mendidik anak-anak. Contohilah ketokohan Luqmanul Hakim yang cukup hebat mendidik anak-anaknya berorientasikan Al-quran dan al-Hadis. Kita tidak mahu remaja-remaja yang bobrok dan kaya dengan pidana dihasilkan. Sebaliknya, kita inginkan barisan remaja yang berkaliber, cukup syumul dan utopia hasil didikan kedua-dua ibu bapa mereka. Marilah kita berubah, “sebelum padi di tangan menjadi lalang” dan “ayam ditambat disambar helang”, ayuhlah ibu bapa, berkorbanlah demi masa depan anak-anak tercinta.

Berkorban apa sahaja,
Harta ataupun nyawa,
Itulah kasih mesra,
Sejati dan mulia.

Ingatlah, ibu bapa cemerlang, anak-anak gemilang!

TIRANI - TEMA, PERSOALAN, WATAK, NILAI DAN PENGAJARAN

ULASAN TIRANI:

TEMA, PERSOALAN, WATAK, NILAI DAN PENGAJARAN

HURAIAN & PERISTIWA
PERSOALAN
NILAI
PENGAJARAN
LATAR MASYARAKAT
PERWATAKAN

·   Sebagai pengusaha Chalet Tajau Emas,Waheeda Nurlyana telah berusaha sedaya-upaya untuk mengembangkan perniagaan di bawah sektor pelancongan itu. Waheeda turut menyediakan pakej pelancongan yang berbentuk ekopelancongan dan agropelancongan kepada pengusaha walaupun menerima saingan sengit daripada pengusaha hotel dan chalet yang lain.

·     Waheeda cekal mengharungi liku-liku yang manis dalam alam rumah tangganya bersama-sama dengan Zahid sehingga beroleh cahaya mata perempuan.

·     Kegigihan Waheeda dalam dalam membina hubungan persahabatan turut. Waheeda gigih dan bijak berhadapan dengan sikap prejudis rakannya Bazilah yang mencemburui hubungan baiknya dengan tunangannya sendiri, Dr. Zahari.


Kegigihan seorang wanita dalam menempuh berbagai-bagai cabaran dan dugaan.



Nilai Kegigihan

Kita hendaklah gigih dalam menempuh berbagai-bagai cabaran dan dugaan

Masyarakat yang gigih dalam menempuh cabaran dugaan.

Seorang yang gigih
-  Waheeda
HURAIAN & PERISTIWA
PERSOALAN
NILAI
PENGAJARAN
LATAR MASYARAKAT
PERWATAKAN

·     Raidah, ibu Waheeda berusaha dan sanggup pergi ke Singapura semata-mata untuk menemani anak gadisnya itu menjalani pembedahan mata dan hidung di Silicon Medical Center (SMC), Singapura.

·     Raidah sanggup menemani Waheeda ketika mendapatkan rawatan dan khidmat kaunseling atas penyakit kemurungannya di Pusat Rawatan Islam. (PUSRAWI) K.L.

·     Datin Hazirah membawa sejambangan bunga dan sekeping kad ucapan yang kononnya daripada Zahid untuk menjaga perasaan menantunya, Waheeda.

·     Waheeda yang terlalu mencintai suaminya telah mengalami masalah kemurungan dan migran meroyan akibat tindakan Zahid yang menceraikannya.






Persoalan kasih sayang seorang ibu terhadap anak kandungan



Persoalan kasih sayang seorang isteri  terhadap suami


Persoalan Kasih sayang ibu mentua kepada menantu


Persoalan kasih sayang seorang anak kepada ibunya.

Nilai kasih sayang

Kita hendaklah mengamalkan nilai kasih sayang untuk mempererat hubungan antara ahli keluarga.

Masyarakat yang mengamalkan nilai kasih sayang dalam kehidupan

Seorang yang penyayang:

-Raidah
    - Datin Hazirah
-Waheeda
    - Izzati


·     Waheeda membuat pinjaman baharu daripada tabung usahawan siswazah, Bank Pembangunan utnuk membeli Chalet Iwana-Iwani yang ingin dijual oleh pemiliknya, Abdul Aziz Imran.

Persoalan keberanian mengambil risiko untuk memajukan perniagaan.



Nilai Keberanian

Kita hendaklah berani menghadapi risiko  dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan.

Masyarakat yang berani mengambil risiko dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan.

Seorang  yang berani:
- Waheeda Nurlyana

·     Waheeda bijak mengatasi masalah kemurungannya dengan mendapatkan rawatan dan khidmat pakar kaunseling  Dr. Qamariah di Pusat Rawatan Islam (PUSRAWI Kuala Lumpur)

·     Waheeda mendapat khidmat kawannya Nurjihan untuk menyerahkan sampel rambut suami, Izzati dan dirinya sendiri untuk membuat ujian DNA bagi membuktikan bahawa Izzati adalah anak kandung mereka.

·     Pak Cik Aziz meminta Waheeda dan Ghazi mengambil alih perusahaan Chalet Iwana-Iwani sebelum pihak bank menyita segala aset perniagaan beliau.





Persoalan kebijaksanaan berikhtiar dalam menyelesaikan masalah





Nilai Kebijaksanaan

Kita hendaklah bijak dalam mencari ikhtiar menyelesaikan masalah  yang dihadapi.

Masyarakat yang bijak bertindak dalam menyelesaikan masalah.


Seorang yang bijak bertindak:
- Waheeda Nurlyana
- Pak Cik Aziz

·     Waheeda tegas dan nekad dengan keputusannya untuk melakukan rekonsitraksi pada bahagian mata dan hidungnya walaupun bercanggah dari sudut agama Islam.
·     Waheeda bertegas tidak mahu menerima cadangan bapa mentuanya Datuk Yasser untuk mengabungkan perusahaan Seri Gading-Tajau Emas


Persoalan ketegasan dalam membuat tindakan dan keputusan






Nilai Ketegasan

Kita hendaklah tegas dalam membuat tindakan dan keputusan.

Masyarakat yang tegas dalam membuat tindakan dan keputusan.

Seorang yang tegas :
- Waheeda Nurlyana

·     Sebagai ibu tunggal Waheeda tabah mendidik dan  membesarkan anaknya Izzati sejak lahir di samping menguruskan  perniagaan pelancongannya setelah diceraikan oleh suaminya  Zahid.

·     Waheeda tabah dan bersabar menghadapi karenah suaminya Zahid yang kuat cemburu dan panas baran.


Persoalan ketabahan menghadapi keruntuhan dalam rumah tangga






Nilai Ketabahan

Kita hendaklah tabah berhadapan dengan masalah dalam kehidupan seharian.

Masyarakat  yang tabah menghadapi dalam kehidupan khususnya dalam rumah tangga

Seorang yang tabah :
- Waheeda Nurlyana

·     Waheeda sabar apabila dituduh oleh suaminya Zahid mengadakan hubungan sulit dengan lelaki lain hanya kerana sikap ramah dan mesra Waheeda yangmenginap di chalet mereka.

Persoalan kesabaran menghadapi dugaan dalam kehidupan.



Nilai kesabaran

Kita hendaklah sabar dalam menghadapi dugaan agar dapat meneruskan hidup dengan tenang.

Masyarakat yang sabar menghadapi tuduhan tanpa usul periksa.

Seorang yang sabar :
- Waheeda Nurlyana

·     Waheeda meminta Izzati menggantung Kain Pua Kumbu sarawak di atas pintu masuk Restoran Iwani dan Kafe Iwani di Chalet Aya –Sajinah, Camerons Highlands untuk mengekalkan budaya dan warisan peribumi Sarawak.
·     Emak Waheeda Iaitu Raidah menyedikaan hidangan tradisional masyarakat Sarawak contohnya pansuh manok, terubuk panggang , dan bubur pedas untuk hidangan para tetamu yang menginap di chalet mereka.

·     Waheeda memilih untuk mengenakan pakaian Cheongsam Brooked Merah ketika menyertai Pertandingan Ratu Pelancongan Antara bangsa yang akan diadakan pertengahan bulan, di The Four Seasons Hotel.


Persoalan menghargai budaya dan warisan bangsa.





Nilai Menghargai

Kita hendaklah menghargai budaya dan warisan bangsa supaya tidak ditelan zaman.

Masyarakat yang menghargai budaya dan warisan bangsa.

Seorang yang mengahragai budaya dan warisan bangsa:
-        Waheeda Nurlyana
-        Raidah
-        Izzati

·     Zahid mengakui kesalahannya dan menangis teresak-esak kerana menyesal atas perbuatan lampaunya menceraikan Waheeda tanpa usul periksa dan mempertikaikan status kelahiran anak kandungnaya, Izzati.

Persoalan keinsafan terhadap kesilapan masa lalu akibat tindakan terburu-buru.



Nilai Keinsafan

Kita hendaklah mengakui kesalahan yang telah dilakukan untuk memulihkan kekeruhan dalam sesuatu hubungan.

Masyarakat yang insaf terhadap kesilapan masa lalu.

Seseorang  yang menyesal dan insaf akan kesilapan yang telah dilakukan:
-        Zahid

·     Waheeda telah dikunjungi oleh sahabat lamanya setelah 10 tahun tidak bersua.

·     Bazilah telah membenarkan Waheeda tinggal bersama-sama dengannya ketika berada di Singapura. Bazilah sentiasa menemani Waheeda ketika pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

·     Waheeda terkenang kembali keakraban ketika bersama-sama sahabatnya Bazilah setelah dia berpindah dari rumah Pangsa Yishun ke Hotel Flamingo


Persoalan hubungan persahabatan yang erat dan utuh.

Nilai Setiakawan

Kita hendaklah menghargai hubungan persahabatan yang terjalin agar ukhuwah berpanjangan.

Masyarakat yang menghargai hubungan persahabatan.

Seorang yang menghargai hubungan persahabatan :

-        Waheeda Nurlyana
-        Bazilah
-        Nasuha
-        Nurjihan


·     Waheeda berkeinginan untuk membuat pembedahan kosmetik pada hidungnya yang pesek walaupun tidak mendapat persetujuan daripada ibu bapanya.

Persoalan bersyukur atas ciptaan  tuhan

Nilai Bersyukur

Kita hendaklah bersyukur atas kurniaan ciptaan tuhan agar tidak mudah berasa rendah diri.

Masyarakat yang tidak bersyukur atas kurniaan ciptaan tuhan.

Seorang yang tidak bersyukur atas kurniaan ciptaan tuhan:
-        Waheeda Nurlyana