Wednesday, March 23, 2016

SINOPSIS NOVEL TIRANI: BAB 6 HINGGA BAB 10

Untuk murid 5A1 & 5A2 Mutiara:

Bab 6: Metamorfosis

          Pembedahan terhadap Waheeda yang telah dirancang berjalan dengan lancar. Operasi ini diketuai oleh Dr Sirrim Ghazizadeh dan dibantu oleh Dr Alma Chen dan Dr Averroes (Dr.Rushdi).  Di dalam bilik pembedahan, keadaan Waheeda sangat tenang dan rela menjalani pembedahan itu demi kecantikan wajahnya. Pembedahan tersebut mengambil masa selama 12 jam.

            Waheeda berasa sangat gembira kerana rupa-rupanya dia ditemani oleh ibunya yang menunggu di luar  bilik pembedahan. Waheeda melangkah keluar dari SMC bersama-sama ibunya selepas membayar bil pembedahan yang jumlahnya berpuluh ribu ringgit. Waheeda berasa lega kerana hasratnya untuk merubah wajahnya seperti yang diidamkan sudah terlaksana. Semasa Waheeda berehat di rumah, dia telah membaca satu tawaran  pakej pelancongan yang ditawarkan oleh Timberland Medical dan SMC ke Hotel Flamingo De La Rossa, Pulau Sentosa, Singapura. Tawaran ini dikhaskan kepada pelanggan SMC yang membayar 30 ribu ke atas. Waheeda menerima tawaran tersebut.


Bab 7: Ke Pulau Sentosa:

          Percutian ke Pulau Sentosa ditemani oleh sahabatnya Bazilah dan Dr Zahari. Waheeda bersama rakannya menghabiskan masa di pulau tersebut. Kebanyakan masa dihabiskan dengan membaca buku yang tersedia di hotel tersebut. Mereka juga menghargai  anugerah alam di situ. Jenis tumbuh-tumbuhan yang ada di situ seperti pohon putat laut dan pohon ketapang yang mengingatkan  Waheeda kepada kampung halamannya. Suasana di situ juga menjadi sumber inspirasi kepada Wheeda untuk memajukan lagi homestay kepunyaan bapanya.

          Semasa Waheeda, Bazilah dan Dr Zahari berbincang, tiba-tiba munculnya  Dr Averroes. Dr Averroes juga dikenali sebagai Dr Rushdi. Percutian ini semakin rancak dengan kehadiran Dr Rushdi. Mereka bersantai bersama-sama berkongsi pengalaman dan pandangan.

Bab 8:  (Hadiah Alam)

          Waheeda dan Dr Rushdi terus bercerita. Dr Rushdi menyatakan bahawa  kecantikan ialah tirani yang hadir hanya sementara sahaja. Istilah  tirani menurut Dr Rashdi berasal dari Greek. Persoalan ini menjadi topik perbualan yang panjang antara mereka berdua.

          Pada malamnya, sebelum tidur, Waheeda tersenyum teringatkan cerita-cerita yang disampaikan oleh Dr Rushdi tentang dirinya dan kehebatan orang-orang Sepanyol. Cerita Dr Rushdi juga mengingatkan  Waheeda kepada kehebatan bangsanya dan kampung halamannya. Sejurus selepas itu, Fatimah telah menelefonnya  tentang ke hadiran Persatuan Agen Pelancongan dan Perjalanan Malaysia (MATTA) ke tempat mereka. Fatimah juga menerangkan pesta Bung Beratak yang dihadirinya bersama-sama rombongan tersebut.

          Selepas itu, melalui e-mel Fatimah juga   tentang projek perhotelan yang dijalankan oleh syarikat Datuk Yaseer yang telah berjalan lancar. Waheeda teringat semula akan chalet ayahnya yang mungkin jauh ketinggalan berbanding dengan hotel Datuk Yasser. Waheeda memasang tekad untuk kembali ke Chalet Tajau Emas.

          Dengan tidak disangka, Waheeda menerima berita gembira untuk menghadiri satu temu duga pegawai Perhubungan di Flamingo Resort. Sebenarnya Waheeda telah membuat persiapan diri  dengan menghadiri bengkel Keusahawanan dan Keterampilan diri sebelum ini. Sebelum tidur pada malam itu, Waheeda berfikir mungkin dia akan berpisah dengan sahabatnya, Bazilah kerana Flamingo Resort terletak jauh di sebelah selatan Singapura.

Bab 9: Wajah Pesona:

          Kehadiran Waheeda sebagai Pegawai Perhubungan Awam yang baru di Flamingo Resort telah mendapat perhatian oleh pekerja di situ. Kecantikan dan keramahan Waheeda amat menyenangkan hati beberapa orang staf di situ seperti Lais, Anati dan Kong.  Dalam pada itu, Waheeda bersyukur diterima bekerja di situ. Namun, dia masih teringat kerjanya di Tajau Emas. Waheeda makan bersama Kong di Restoran La Rosa. Selepas Kong meninggalkan Waheeda di kafe, Waheeda sempat melihat seorang  lelaki yang bernama Zahid setelah dibisikkan oleh Alex kepadanya.

          Di rumah Bazilah, semasa kedua-dua mereka berbual, Dr Zahari muncul. Waheeda sedar sejak belakangan ini, Dr Zahari selalu datang ke rumah mereka. Tindakan Dr Zahari yang mesra dan seakan-akan tidak mempedulikan Bazilah menyebabkan Waheeda kurang selesa. Waheeda berasa Dr Zahari melemparkan pandangan mata yang cukup berlainan yang mungkin menyebabkan Bazilah cemburu. Peristiwa ini menyebabkan Waheeda menganggap  tirani itu memang benar. Dengan alasan ini, Waheeda mengambil keputusan untuk berpindah ke Flamingo Resort.
Pada minggu pertama di tempat kerja, Waheeda telah menerima tugas yang agak berat yang diberikan oleh Encik Halloway. Waheeda cuba mengaitkan budaya masyarakat Singapura dengan masyarakat Sarawak. Waheeda teringat akan orang Ulu, Long Dance atau Hiven Joh, kebudayaan suku kaum Kelabit, Kayan, Kenyah, Long Bawang dan Penan.

          Dalam pada merangka program yang terbaik untuk resort tersebut, Halloway datang dan mengajak berjumpa dengan Zahid. Dalam pertemuan ini, Halloway telah menawarkan Waheeda sebagai wakil Flamingo Resort dalam pertandingan ratu antarabangsa yang akan diadakan pada pertengahan   hadapan. Waheeda terkejut mendengar tawaran tersebut. Keadaan itu diredakan apabila Halloway memuji kecantikan Waheeda.
Setelah Halloway beredar, Waheeda berkenalan dengan Zahid. Melalui perbualan tersebut, Waheeda  dan Zahid begitu teruja dan hati mereka terus berbunga. 

Bab 10: Senyum 10 Ela:

          Datuk Yasser berkunjung ke Singapura dan menginap di Flamingo Resort dengan tujuan untuk menemuinya anaknya Zahid yang baru pulang dari Amerika. Datuk Yasser banyak membincangkan isu yang terkandung dalam akhbar hari itu,termasuklah tentang  Islam, rasuah, cetak rompak dan sebagainya. Tujuan asalnya untuk bertanya kepada Zahid tentang kepulangan Zahid dari Amerika. Zahid menjelaskan kepada ayahnya bahawa dia tidak suka  tinggal di sana kerana beberapa isu negatif terhadap Malaysia dan Islam. Datuk Yasser berasa bersyukur atas keputusan Zahid. Pada malam itu, perbualan anak beranak itu berkisar kepada pengembangan perniagaan di Kuching, Seri Gading dan mungkin ke Flamingo. Dalam kerancakan perbincangan, rupa-rupanya senyuman manis Waheeda terlekat dalam lamunan Zahid.

          Selepas menikmati makanan tengah hari bersama Halloway, Waheeda didatangi oleh Zahid. Seterusnya Zahid memperkenalkan Waheeda kepada ayahnya Datuk Yasser. Perbualan Waheeda dengan Datuk Yasser  semakin rancak kerana Waheeda berasal dari Kuching dan ada kaitan dengan Tajau Emas. Lantas ada kaitan dengan Seri Gading. Datuk Yasser sangat gembira dan mencadangkan mereka makan bersama-sama pada malam itu.
Waheeda tidak sabar untuk menceritakan kepada Bazilah tentang pertemuannya dengan Zahid yang mungkin akan membibitkan sesuatu yang bermakna.

          Seterusnya, persiapan sedang dibuat oleh Kong dan Anati yang sibuk memberi idea  tentang pakaian yang sesuai dipakai oleh Waheeda ke Pertandingan Ratu Cantik Miss Tourism Internasional nanti. Waheeda mencadangkan bahawa dia tidak mahu memakai fesyen yang berbelah sampai ke paha. Sebaliknya dia akan mengenakan pakaian Gajoh Oleng yang merupakan pakaian tradisi Sarawak.


SINOPSIS NOVEL TIRANI MENGIKUT BAB : BAB 1 HINGGA BAB 5

Untuk murid-murid 5A1 & 5A2:

Bab 1: Melontar puing duka:

          Semasa di homestay miliknya, Waheeda sedang melayari laman sesawang tentang kecantikan diri seorang wanita yang merupakan sinonim dengan sifatnya yang terlalu obses (berkeinginan) dengan kecantikan.  Lalu Waheeda teringat akan hidungnya yang kemek  yang menjadi ejekan kepada kawan-kawannya seperti  Si Nuar, Si Man dan Mat Gusi. Hatinya sentiasa memberontak dengan keadaan itu. Atas nasihat ibunya, Raidah dan kawannya Nasuha serta Ustazah Ruqaiyah perasaan benci  dan bergelora terhadap kawan-kawannya dapat diredakan.

          Di pekarangan homestaynya suasana agak riuh dan sibuk telah mematikan lamunan Waheeda. Keriuhan itu menggambarkan kesibukan dan persediaan yang sedang dilakukan oleh pekerja homestay iaitu Fatimah, Babu Saiyidah, Liya dan Nani untuk menyambut kedatangan pelancong Inggeris. Satu daripada keistimewaan homestay ini adalah menyediakan makanan asli masyarakat Dayak Sarawak seperti pansuh ayam dan bubur pedas, pansuh manok(burung) dan udang galah gulai tempoyak iaitu masakan asli Sarawak. Selain makanan dan tempat tinggal, pengurusan homestay Waheeda    menyediakan pengalaman pergi ke dusun buah-buahan di Matang dan juga pengalaman urutan kaki di kolam ikan kap. Selain itu, pelancong juga diberi penerangan tentang sejarah tempatan di situ. Waheeda terus menyiapkan tugasannya untuk memajukan lagi homestay itu.


Bab 2: Dayang Muda

          Semasa di pejabatnya,  Waheeda dan Fatimah sibuk berbincang tentang  2 lawatan institusi pelancongan dan lawatan Putera  Andrew ke Rumah Panjang Annah Jais seterusnya ke Dusun Tajau Emas. Mereka juga menyenaraikan  barang-barang yang penting untuk dipamerkan bagi menggambarkan identiti budaya masyarakat Sarawak kepada rombongan yang hadir.
Kehadiran para pelancong ini menyebabkan Waheeda berasa amat gembira. Namun di sebalik kehadiran pelancong itu, Waheeda berasa amat kecewa atas penampilan dirinya yang tidak cantik dan Waheeda memasang niat untuk membuat pembedahan plastik. Hasrat ini telah dinyatakan kepada ibunya, Raidah. Tetapi bapa Waheeda tidak menggalakkan kerana  bercanggah dengan hukum agama. Emak Waheeda terus memujuk anaknya supaya tidak melakukan  apa yang dihajatinya.

          Tidak  beberapa lama kemudian, keadaan chalet  pada malam itu menjadi kelam kabut. Seekor  monyet Belanda telah menerpa masuk ke dalam chalet. Nasib malang telah menimpa Waheeda kerana monyet itu telah menggigit muka Waheeda. Dia luka parah dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan yang dikendalikan oleh Dr. Zakaria. Melalui perbincangan antara Waheeda dengan Dr Zakaria, Waheeda telah bersetuju untuk melakukan pembedahan plastik dengan menggunakan kepakaran di Singapura.

Bab 3: Katarsis

          Perjalanannya  menuju ke lapangan terbang Kuching pada pagi itu ditemani oleh Ibu Waheeda(Raidah), Kamri dan Ghazi selaku pemandu kereta pacuan empat roda (Prado). Ghazi ialah abang Waheeda yang melepaskan jawatan sebagai jurutera di petronas telah pulang ke pangkuan keluarga untuk memajukan perniagaan keluarganya. Pada awalnya, perjalanan mereka agak lancar tetapi apabila menghampiri jambatan Tun Abdul Rahman Yakob, keadaannya tersekat-sekat akibat jambatan roboh kerana dilanggar oleh tongkang pasir pada malam tadi. Dalam perjananan itu Waheeda tidak banyak berkata-kata hanya menyamput kata-kata ibunya sekali sekala. Waheeda banyak menyendiri sahaja. Namun, ibunya Raidah banyak bercerita tentang sejarah jambatan gantung dan nama-nama jalan yang dilalui oleh mereka yang semuanya mengambil nama pembesar-pembesar negeri Sarawak. Raidah juga sangat kagum tentang bandar raya Kuching yang dinobatkan sebagi Bandar Dalam Taman dan Bandar Selamat menurut perisytiharan daripada Perikatan Bandar Sihat Sedunia.

          Mereka sempat sampai ke lapangan terbang Kuching sebelum waktu berlepas. Raidah melihat wajah anaknya yang tidak menunjukkan rupa kesedihan. Jelaslah Waheeda mempunyai perasaan katarsis.

          Sesampainya di lapangan Terbang Changi, Singapura, Waheeda menuju ke rumah  Bazilah iaitu kawan satu university dengannya. Waheeda akan tinggal bersama Bazilah sepanjang menerima rawatan di Silicon Medical Centre, Singapura yang dikendalikan oleh Dr Alma Hollis.

Bab 4: Semarak Api Semarak Hati:

          Sebelum Waheeda menuju ke  rumah Bazilah, Waheeda  kagum  dengan kebersihan bandar raya Singapura dan Waheeda melihat kedai-kedai yang banyak berderet tetapi niatnya bukannya untuk membeli belah. Dia juga amat peka kewujudan pokok-pokok semarak api yang sedang berbunga. Rentetan daripada itu, telah menyedarkan Waheeda tentang kepalsuan fakta sejarah yang telah dimanipulasikan oleh penjajah. Perjalanan diteruskan ke rumah Bazilah. Dia sudah dinantikan oleh sahabatnya itu di rumah. 
          Waheeda akan tinggal di salah sebuah bilik di rumah  kepunyaan pakcik Bazilah. Semalaman mereka berbual mengenang kembali peristiwa-peristiwa semasa mereka sama-sama belajar di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Malaysia. Keesokan harinya, Waheeda telah diperkenalkan oleh Bazilah kepada tunangnya, Dr Zahari. Kebetulannya Dr Zahari merupakan doktor pakar pembedahan plastik di Hospital Sultanah  Aminah, Johor Bharu. Dalam sebuah restoran, Dr Zahari menjelaskan gambaran tentang pembedahan plastik yang akan dilalui oleh Waheeda. Pada masa yang sama, Waheeda juga menyatakan  bahawa dia berhajat untuk melakukan pembetulan di kelopak matanya.

          Waheeda dan Bazilah sudah berada di  Silicon Medical Centre (CMC). Di sini, Waheeda berjumpa dengan Dr Alma Chen. Waheeda telah menyerahkan dokumen perubatan dari hospital  di Sarawak. Waheeda telah melengkapkan semua borang yang diperlukan untuk proses pembedahan tersebut.

Bab 5: Doa Selamat
      Pada malam itu, Waheeda menghantar e-mel yang menceritakan rawatan yang akan dilaluinya. Apabila Ghazi menyatakan pembedahan tersebut mengambil masa kira-kira 10 jam kepada ibunya, Raidah menjadi gusar lalu bertindak  dengan menyediakan sejenis makanan yang bernama ketupat lepas. Penyediaan ketupat lepas ada kaitan dengan kepercayaan masyarakat di situ untuk menolak bala. Raidah juga menyuruh Ghazi membeli tiket kapal terbang ke Singapura. Raidah akan memberi ketupat lepas itu kepada anaknya itu kononnya untuk menolak bala.

      Di rumah Bazilah, Waheeda menerima panggilan daripada ibunya bahawa dia sudah sampai di Singapura. Waheeda terkejut dan menyatakan kepada ibunya supaya menunggunya. Tiba-tiba ibunya sudah berada di depan pintu rumahnya. Ibunya membawa ketupat lepas dan menyuruh Waheeda membuka ikatan ketupat lepas bagi menolak bala lalu dimakannya. Bazilah juga memakannya. Waheeda amat gembira dengan kehadiran ibunya.

      Pada keesokan pagi, Raidah dan Bazilah menemani Waheeda ke SMC. Selepas berjumpa dengan Dr Alma Chen dan menandatangani beberapa dokumen mereka terus ke bilik bedah. Di luar dewan bedah, Raidah memeluk anaknya dan mendoakan keselamatan Waheeda. Begitu juga dengan Bazilah. Kemudian Waheeda berjalan masuk ke bilik bedah dengan hati yang tabah demi  kecantikan wajahnya.

NOVEL TIRANI : SINOPSIS KESELURUHAN

UNTUK MURID 5A1 DAN 5A2....

Tajuk: Sinopsis Keseluruhan Novel Tirani.

TIRANI mengisahkan tentang  seorang gadis yang bernama Waheeda mahu menjadi cantik dan berhidung mancung kerana hidung asalnya pesek. Waheeda juga ingin mencapai kemajuan atas nama dirinya dalam bidang pelancongan sehingga suaminya, Zahid mengatakan bahawa Waheeda telah mengabaikan batas-batas pergaulan sebagai isteri. Bagi menjadi cantik Waheeda yang kebetulan hidungnya digigit monyet melakukan pembedahan rekonstruksi atau pembinaan semula wajahnya dengan memasang hidung palsu menjadikannya hidungnya mancung dan cantik. Dengan kejayaannya menjadi cantik datang jugalah kejayaannya dalam bidang kerjaya. Bidang pelancongan yang diterokainya telah mempertemukannya dengan suaminya, Zahid, anak rakan niaganya di Sarawak iaitu Datuk Yasser. Kecantikan dan kejayaan dalam kerjaya yang dicapai oleh Waheeda tidak menjamin kebahagiaan rumah tangga. Sebenarnya tidak menjadi kenyataan  kerana apa yang diperolehnya itu yang merosakkan kehidupannya. Kecantikannya itu menyebabkan tugasnya bertambah berat dan harapan orang terhadapnya melambung tinggi sehingga Waheeda tidak larat memikulnya. Dalam novel TIRANI cinta Waheeda terhadap suaminya begitu mendalam sehingga jatuh sakit jiwa setelah diceraikan oleh suaminya. Penceraian itu berpunca daripada wajah anaknya yang tidak ada mewarisi kecantikan dirinya dan ditambah dengan rasa cemburu oleh Zahid.  Akhirnya Waheeda  bertekad untuk berjaya dan berdikari dalam bidang pelancongan dengan menguruskan sebuah chalet di Cameron Highland. Kemajuan chalet yang diusahakan oleh Waheeda dan anaknya Izzati telah menarik kehadiran ramai pelancong termasuklah Zahid. Akhir mereka dipertemukan di chalet itu. Namun, di sudut hati Waheeda dan Zahid terserlah satu falsafah hidup bahawa kecantikan seseorang hanyalah satu TIRANI (tidak kekal selama-lamanya).