Wednesday, April 20, 2016

KARANGAN PERBINCANGAN : LANGKAH MEWUJUDKAN PERPADUAN DALAM KALANGAN MASYARAKAT.

KARANGAN PERBINCANGAN:

Tajuk : Cara / Langkah mewujudkan perpaduan kaum

Contoh karangan 1:

Pada hemat saya, sudah tentu rakyat Malaysia tidak asing lagi dengan tema sambutan Hari Kemerdekaan Negara ke-51, iaitu “Perpaduan Teras Kejayaan”. Jika slogan tersebut dibaca dengan teliti, slogan tersebut sebenarnya membawa mesej bahawa masyarakat yang hidup bersatu-padu dapat menjana kejayaan dan kecemerlangan negara. Sebagai pembuka bicara, kita sudah sedia maklum bahawa perpaduan dan keharmonian merupakan elemen yang sangat penting dalam mengekalkan kesejahteraan dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum ini. Tanpa perpaduan, nescaya kemerdekaan dan kedaulatan negara yang telah diperoleh sejak sekian lama akan hilang dalam sekelip mata. Persoalannya, bagaimanakah kita dapat mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini?
Sebagai langkah pertama dalam membentuk perpaduan, rakyat haruslah bergaul dan memupuk persefahaman antara kaum. Dalam keadaan tersebut, ibu bapa perlulah menerapkan nilai-nilai perpaduan dalam diri anak-anak sejak kecil lagi. Persis kata mutiara, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Mereka digalakkan berkomunikasi dengan jiran yang berlainan bangsa dan membawa anak-anak mengunjungi rumah jiran semasa hari lebaran. Dengan cara itu, ibu bapa dapat menjadi suri teladan kepada anak-anak dan membolehkan mereka menghayati keistimewaan masyarakat Malaysia yang mempunyai pelbagai jenis kaum dan etnik. Satu lagi cara yang dapat diambil oleh ibu bapa ialah bergaul dengan anak-anak dalam pelbagai bahasa, misalnya Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, dan bahasa-bahasa ibunda. Apabila golongan muda menguasai pelbagai bahasa, mereka dapat berkomunikasi dengan rakan yang berlainan bangsa dengan mudah. Pokoknya, nilai-nilai perpaduan dan permuafakatan hendaklah didedahkan kepada generasi muda sejak awal lagi agar jiwa perpaduan dalam diri mereka dapat berkembang dengan sempurna.
Seterusnya, institusi-institusi pendidikan perlu bertanggungjawab menerapkan semangat bersatu-padu dalam kalangan pelajar berbilang kaum. Antara langkah yang dapat diambil adalah dengan memberikan kerja-kerja berkumpulan. Dalam konteks ini, guru-guru hendaklah membahagikan pelajar secara berkumpulan dalam melaksanakan projek-projek sekolah, seperti kajian Sains, persembahan maklumat, dan sambutan-sambutan dalam sekolah. Guru-guru juga haruslah membahagikan kedudukan pelajar dengan sempurna untuk menggalakkan pelajar berkomunikasi dengan pelajar-pelajar yang berlainan kaum dan bukannya sesama kaum sahaja. Dalam proses menjayakan inisiatif-inisiatif tersebut, guru tidak boleh mencetuskan isu-isu sensitif semasa mangajar, misalnya dengan mengagung-agungkan warisan budaya sendiri dan mengejek budaya kaum lain. Pendek kata, pelajar-pelajar dan guru-guru perlulah bekerjasama “bagai aur dengan tebing” demi menzahirkan semangat perpaduan di peringkat sekolah.
Di samping itu, pelajar-pelajar perlulah belajar dan menghayati sejarah negara agar dapat memahami erti perpaduan negara. Sebagai satu daripada langkah untuk mewujudkan permuafakatan bangsa, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mewajibkan pelajar-pelajar agar lulus dalam mata pelajaran Sejarah di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Dasar tersebut akan berkuatkuasa mulai tahun 2013. Langkah bijak tersebut diharapkan dapat menyedari anak-anak bangsa tentang kesan akibat kurangnya perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat. Antaranya, dasar pecah dan perintah yang dilaksanakan semasa penjajahan British telah menyukarkan usaha menyatupadukan kaum menjelang kemerdekaan negara. Pada masa yang sama, kita tentulah tidak mengharapkan peristiwa 13 Mei 1969 berulang dan menggugat kestabilan tanah air. Oleh itu, pelajar perlu mengenali sejarah tanah air agar dapat menyemai semangat perpaduan dalam diri individu. Ahli falsafah terkemuka, iaitu George Santayana juga menyatakan bahawa “sesiapa yang melupakan sejarah pasti akan mengulanginya”.
Pada masa yang sama, rakyat Malaysia hendaklah menghindari sebarang tindakan yang dapat mencetuskan provokasi kaum. Hal ini adalah kerana tindakan-tindakan yang dapat membangkitkan isu perkauman dapat mengakibatkan pertelingkahan antara kaum, seterusnya menjejaskan keamanan negara. Misalnya, Wee Meng Chee ataupun lebih dikenali sebagai Namewee, iaitu seorang pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di Taiwan, telah menimbulkan api kemarahan rakyat Malaysia dengan karyanya yang berjudul “Negarakuku”. Lagu “rap” yang diubahsuai daripada lagu Negaraku berbaur unsur-unsur yang menghina Perlembagaan Negara dan dasar-dasar pentadbiran negara. Sekiranya banyak rakyat Malaysia yang bertindak sedemikian, ke manakah akan perginya perpaduan negara dan maruah negara? Sesungguhnya, walaupun kita diberikan kebebasan bersuara, kita janganlah mengambil kesempatan tersebut untuk mencetuskan isu-isu sensitif yang dapat menghancurkan keharmonian dan kedaulatan negara.
Selain itu, masyarakat setempat juga memainkan peranan dalam mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini. Mereka sewajarnya menganjurkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, Program Rukun Tetangga, dan kempen Bulan Kemerdekaan untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum. Melalui aktiviti-aktiviti seperti gotong-royong dan Program Rukun Tetangga, selain daripada menjamin kesejahteraan hidup warga setempat, rakyat juga berpeluang berkomunikasi dan menghulurkan bantuan kepada jiran tetangga yang berlainan bangsa. Bak kata pepatah, “serampang dua mata”. Smabutan-sambutan khas seperti Hari Keluarga dan Kempen Bulan Kemerdekaan dalam pelbagai peringkat pula dapat membuka mata rakyat jelata tentang adat resam dan budaya kaum lain. Program Hari Keluarga misalnya, menawarkan rencaman jenis permainan dan aktiviti bersuka-ria yang memerlukan perancangan teliti dan kerjasama yang erat antara ahli keluarga ataupun jiran tetangga. Sesungguhnya, masyarakat setempat tidak ketinggalan dalam memainkan peranan yang penting untuk melahirkan permuafakatan dalam kalangan masyarakat negara.
Kerajaan pula harus memainkan tugas penting untuk menggerakkan rakyat ke arah perpaduan yang jitu. Sebagai jentera pentadbiran negara, kerjaan perlulah berusaha menerapkan gagasan Satu Malaysia dalam kalangan rakyat. Namun, apakah gagasan Satu Malaysia sebenarnya? Gagasan Satu Malaysia yang diwara-warakan oleh Perdana Menteri Malaysia, iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak ini bertujuan mewujudkan sebuah negara bangsa yang merangkumi persefahaman dan perpaduan yang utuh dalam kalangan warga Malaysia. Demi merealisasikan gagasan tersebut, kerajaan haruslah menganjurkan pelbagai kempen untuk menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat. Antaranya ialah pameran kebudayaan dan warisan masyarakat Malaysia. Langkah ini dapat menyemai persefahaman dalam kalangan rakyat berbilang kaum kerana mereka dapat mengenali dan menghayati budaya kaum lain dengan lebih lanjut. Kempen “Cintai Bahasa Kita” perlulah digiatkan dengan lebih cergas lagi untuk memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan, iaitu Bahasa Melayu. Hal ini adalah kerana bahasa kebangsaan merupakan wahana penting yang dapat memudahkan komunikasi antara rakyat. Kerajaan turut telah mengambil langkah menganjurkan Program Integrasi Nasional dalam kalangan pelajar sekolah. Program tersebut sebenarnya bertujuan untuk menerapkan semangat bersatu-padu dalam diri bakal peneraju negara. Tuntasnya, usaha-usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan perlu dimanfaatkan oleh rakyat dan bukannya “seperti kera mendapat bunga” agar perpaduan dan integrasi nasional dapat diwujudkan.
Sebagai intihanya, “bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi”. Usaha-usaha untuk mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini memerlukan sinergi dan dedikasi yang tidak berbelah bahagi oleh oleh semua pihak, “seperti isi dengan kuku”. Janganlah mengizinkan sejarah hitam akibat kurangnya persefahaman dalam kalangan masyarakat seperti peristiwa 13 Mei 1969 berulang di negara ini. Bak kata mutiara, “bersatu teguh, bercerai roboh”. Oleh itu, marilah kita bergabung idea dan tenaga yang dihiaskan dengan sikap toleransi dan persefahaman yang kukuh demi mewujudkan integrasi nasional. Mulakanlah inisiatif-inisiatif tersebut ke arah Wawasan 2020 kerana “perjalanan seribu batu bermula dengan langkah pertama”. \

Contoh karangan 2:


          Terdapat peribahasa Melayu yang berbunyi ,"bulat air kerana pembentung , bulat manusia kerana muafakat ". Semangat perpaduan berperanan signifikan dalam usaha melahirkan masyarakat yang bermuafakat dan menyemarakkan semangat integrasi nasional dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum selaras inspirasi "Satu Malaysia". Walau bagaimanapun , alangkah kecewanya melihat semangat yang murni ini kian hari kian di telan dek kemodenan dan diabaikan oleh generasi muda mutahir ini . Untuk mengelakkan semangat perpaduan daripada terkubur begitu sahaja , institusi keluarga memainkan peranan vital untuk menyuntik semangat perpaduan yang luhur dalam sanubari generasi muda yang merupakan bakal pelapis kepimpinan tanah air.

          Setelah meneliti dan mengkaji sehingga ke akar umbi , teladan ibu bapa atau lebih dikenali sebagai "role model" merupakan uslub primer yang efektif dan pragmatik untuk menyemai semangat solidariti dalam kalangan anak-anak. Dalam konteks ini , ibu bapa wajar menunjukkan suri teladan yang baik dengan menjalinkan perhubungan yang yang erat dan karib dengan jiran tetangga. Sempena sambutan perayaan , ibu bapa haruslah mengadakan majlis rumah terbuka . Secara tidak langsung , amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran tetangga setempat. Justeru, perpaduan akan bertambah utuh dan teguh .

          Di samping itu , memang tidak dinafikan bahawa ibu bapa turut berperanan penting dalam mengajar anak-anak mereka menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara serta menghormati adat istiadat kaum-kaum lain dengan penuh berdedikasi. Pada realitinya , ibu bapa haruslah memastikan generasi muda berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Rukun Negara untuk melahirkan masyarakat yang bersatu-padu dan harmoni dalam pelbagai aspek. Bertitik tolak daripada itu , ibu bapa turut bertanggungjawab memastikan anak-anak mereka memahami dan menghormati adat istiadat , pantang larang serta kebudayaan pelbagai kaum di Malaysia demi mengelakkan konflik antara kaum .

          Selain itu , semangat mahmudah yang jitu ini turut mampu diterap dalam jiwa generasi muda melalui dorongan yang diberi oleh anak-anak mereka untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang dapat mengukuhkan perpaduan antara kaum di sekolah seperti PLKN , RIMUP dan sebagainya. Maka , program-program khas yang diwujudkan untuk remaja ini amatlah efektif dalam menjana peluang untuk mewujudkan interaksi antara generasi muda. Strategi serampang dua mata ini bukan sahaja dapat menyemai semangat perpaduan dalam kalangan remaja malahan mampu menyemarakkan semangat patriotisme mereka , bak kata pepatah "sambil menyelam minum air".

          Bukan itu sahaja , langkah bercerita tentang susur galur sejarah bangsa Malaysia kepada anak-anak juga merupakan satu minhaj yang ideal diambil oleh ibu bapa. Ibu bapa perlu menekankan bahawa kemerdekaan tanah air kita yang dicapai hari ini adalah berkat perjuangan semua kaum dan semua anak watan wajib menghargai titik peluh bekas pemimpin kita yang tidak ternilai ini. Sebagai analoginya , generasi muda yang umur baru setahun jagung, darah baru setampuk pinang tidak akan terlalu taksud dengan kenikmatan materialistik sehingga hidup dalam kepompong sendiri dan mengambil enteng tentang kepentingan mewujudkan perpaduan dalam tanah air sendiri .

          Seterusnya, ibu bapa juga perlulah menggalakkan anak-anak mereka menonton filem , drama dan iklan yang bertemakan perpaduan antara kaum. Statistik yang sahih telah menunjukkan filem-filem ini memang jauh lebih efektif dan berkesan berbanding dengan bahan bertulis kerana persembahan media elektronik lebih menarik , kreatif dan inovatif. Maka , pelbagai iktibar dan pengajaran dapat diperoleh oleh generasi muda melalui persembahan-persembahan elektronik ini . Rentetan itu, wujudlah garis panduan yang berladaskan segala iktibar dan pengajaran yang diperolehi oleh generasi muda untuk mengecapi perpaduan dan keharmonian .

          Seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu "bersatu kita teguh, bercerai kita roboh", semangat perpaduan yang menjadi panduan hidup anak watan merupakan inti kepada pembentukan masyarakat sakinat dan harmoni. Untuk merealisasikan matlamat ini , iaitu membentuk masyarakat sakinat dan mengecapi perpaduan antara kaum , segenap lapisan masyarakat sayugialah bersinergi bagai aur dengan tebing dan jangan sekali-kali bernafsi-nafsi bagai enau dalam belukar ,melepaskan pucuk masing-masing . sebagai intihanya , iltizam dan komitmen masyarakat amatlah vital dan berperanan signifikan .



No comments:

Post a Comment